Permandangan Bandar Klang. Foto Tourism Selangor
PBTSELANGOR

MPK tumpu tingkat kualiti perkhidmatan asas, penuhi jangkaan penduduk

KLANG, 18 MAC: Meningkatkan kualiti perkhidmatan asas menjadi tumpuan utama Majlis Perbandaran Klang (MPK) tahun ini selaras dengan misinya mencapai status bandar raya.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata ia termasuk kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, penyelenggaraan prasarana, pengindahan landskap dan penguatkuasaan undang-undang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan berucap sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sanjungan Budi MPK 2022 di Dewan Hamzah, MPK, Klang pada 17 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Semua perkhidmatan asas ini perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya agar bandar raya idaman yang kita cita-citakan menjadi kenyataan seperti yang disasarkan pada 23 November.

“Ingin saya ingatkan kepada warga kerja MPK untuk mengubah mengubah cara kerja dengan meningkatkan kualiti dan keberkesanan dalam perkhidmatan.

“Seterusnya membangunkan Klang sebagai bandar raya yang produktif dan kompetitif demi kemakmuran rakyat serta masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sanjungan Budi MPK 2022 di Dewan Hamzah, MPK, Klang pada 17 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MPK di Dewan Hamzah di sini, malam tadi, Noraini mengesa warga kerjanya memastikan perkhidmatan sentiasa cekap dan proaktif demi memenuhi jangkaan penduduk yang semakin tinggi.

“Pembentukan budaya kerja berkualiti hanya akan tercapai sekiranya warga organisasi mempraktikkan etika kerja dan sifat integriti yang menyeluruh dan positif.

“Oleh itu, MPK sentiasa menekankan aspek mengamalkan budaya kerja berkualiti tinggi dalam kalangan kakitangan agar kualiti penyampaian perkhidmatan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 127 kakitangan MPK menerima APC bagi tahun 2022 selain Anugerah Khas Yang Dipertua serta penghargaan kepada 25 pesara.


Pengarang :