Warga Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga boleh melunaskan bayaran cukai taksiran di kaunter bergerak MPS. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang
PBTSELANGOR

MPS kutip cukai taksiran RM41 juta dalam tempoh dua bulan

Oleh AZIAN AZIZ

SELAYANG, 31 MAC: Sebanyak RM41 juta cukai taksiran semasa 2023 dikutip Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sehingga 28 Februari lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya berkata jumlah kutipan itu merupakan 72.06 peratus daripada sasaran kutipan cukai taksiran semasa tahun ini iaitu RM57 juta.

“MPS juga telah mengutip RM3.6 juta atau 30.12 peratus tunggakan cukai taksiran dalam tempoh sama.

“Jumlah keseluruhan tunggakan cukai taksiran yang perlu dikutip ialah RM12 juta,” kata Adi Faizal Ahmad Tarmizi dalam ucapannya sempena Mesyuarat MPS Bilangan 3/2003 hari ini.

Menurutnya bagi memudahkan pemilik harta membayar cukai taksiran, MPS kini mengadakan kempen bayaran cukai taksiran secara dalam talian.

“Bayaran boleh dibuat melalui portal MyMPS, Lazada, Shopee dan Cepat bermula Januari lalu.

“Orang ramai juga boleh membayar cukai di kaunter bayaran di lobi Menara MPS atau kaunter cawangan MPS di Rawang, Sri Gombak dan Wangsa Permai serta kaunter bergerak MPS,” katanya.


Pengarang :