Oleh Shamz Johan
SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima kunjungan delegasi Majlis Perbandaran Tongyeong dari Korea Selatan, semalam.
Jabatan komunikasi korporat MPS berkata lawatan bertujuan berkongsi kaedah pentadbiran, fungsi dan peranan ahli majlis selain program yang dijalankan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Satu taklimat berkaitan cara dan kaedah pentadbiran pihak berkuasa tempatan serta fungsi ahli majlis di bawah MPS disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Korporat, Ahmad Fauzi Ishak.
“Selain itu, kita turut berkongsi mengenai anugerah dan pengiktirafan yang diterima MPS,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut MPS, delegasi tersebut dibawa melawat projek kebun komuniti di Garden 8, Taman Perwira Gombak yang diusahakan oleh komuniti kejiranan.
“Kita mendapat maklum balas yang baik selain mereka amat teruja dengan projek tersebut dan mahu membawa konsep sama ke Tongyeong,” kata MPS lagi.
Terdahulu selegasi seramai 17 orang itu diketuai pengerusinya Mi-Ok Kim terdiri ahli majlis, kakitangan dan dua orang wakil Local Authority Training Institute of Korea (LATI) disambut Yang Dipertua MPS Dato’ Mohd Yazid Sairi.
