Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Adi Faizal Ahmad Tarmizi (tiga dari kiri) pada majlis lafaz akuan terima jawatan di hadapan Yang Dipertua MPS Dato’ Mohd Yazid Sairi di Menara MPS pada 2 Mac 2023. Foto Facebook MPS
PBTSELANGOR

MPS terima timbalan YDP baharu, angkat sumpah terima jawatan hari ini

SHAH ALAM, 2 MAC: Ketua Unit Parlimen dan Kawalan Pemantauan Kementerian Kewangan, Adi Faizal Ahmad Tarmizi dilantik Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkuat kuasa semalam.

Pelantikan Adi Faizal menggantikan Ir Cheremi Tarman yang dilantik Timbalan Datuk Bandar Shah Alam pada 9 Januari lalu.

Majlis angkat sumpah terima jawatan diadakan di hadapan Yang Dipertua MPS Dato’ Mohd Yazid Sairi di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu hari ini.

Adi Faizal adalah Pegawai Tadbir dan Diplomatik berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Asia E Universiti selain Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau menyertai perkhidmatan awam sejak 2006 dan mempunyai pengalaman luas serta pernah bertugas di beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk terakhir sebagai Ketua Unit Parlimen dan Kawalan Pemantauan Kementerian Kewangan bermula 2020.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor pada 2019 dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang pada 2016 sehingga 2019.

MPS dalam kenyataan berharap pelantikan beliau dapat membantu PBT itu cemerlang di Selangor melalui pengalaman dimilikinya.


Pengarang :