Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 23 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MRSM berbayar buka ruang kemasukan pelajar golongan M40, T20

SHAH ALAM, 23 MAC: Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk golongan berkemampuan tidak menggunakan peruntukan kerajaan atau didirikan di atas tanah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan melibatkan kerjasama dengan institusi kewangan.

Beliau berkata pembinaan MRSM itu bagi memenuhi permintaan tinggi daripada golongan M40 dan T20 tetapi tidak layak berdasarkan pendapatan ibu bapa.

“Ini adalah pelan masa hadapan yang sedang disusun Mara kerana permintaan untuk masuk MRSM adalah lebih 300 peratus.

“Kita telah melakukan kajian kebolehlaksanaan dan melihat ramai layak dari segi akademik tetapi tidak layak dari segi pendapatan ibu bapa kerana keutamaan adalah kepada B40,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) mengenai proses dan sumber dana untuk membina MRSM berbayar.

Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata Mara juga akan membuka ruang kepada semua anak alumni MRSM untuk memasuki institusi pendidikan itu sama ada yang sedia ada, mahu pun MRSM berbayar.

Dalam pada itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pengerusi muafakat dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) bagi memastikan pelajar daripada kumpulan B40 tidak terbeban dengan kos tersembunyi di MRSM.

Sebelum ini, Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan MRSM berbayar diwujudkan khusus bagi memenuhi permintaan dan keperluan kelompok elit berpendapatan tinggi.


Pengarang :