Anggota penguatkuasa Majlis Daerah Bachok bersama Pejabat Agama Jajahan Bachok menjalankan operasi bersepadu dan pemantauan kedai makan sepanjang Ramadan pada 26 Mac 2023. Foto Facebook Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam
AGENDANASIONAL

Nasi lauk ayam disorok dalam mesin basuh, jual kepada orang tidak puasa

SHAH ALAM, 27 MAC: Seorang peniaga di Kota Bharu sanggup menyembunyikan lauk dan nasi bungkus dalam mesin basuh yang diletakkan dalam tandas untuk dijual kepada individu tidak berpuasa.

Tindakan itu dikesan Pejabat Agama Jajahan Bachok dan Majlis Daerah Bachok dalam operasi pagi semalam, dengan lebih 20 bungkus nasi berlauk ayam dirampas, lapor Berita Harian.

Menurut Pegawai Agama Jajahan Bachok Suratemi Mat Yusof, pihaknya turut menemukan bungkusan teh o ais yang disembunyikan dalam bilik tidur milik peniaga wanita berusia 40-an itu.

Bungkusan nasi dan ayam goreng yang disorokkan seorang peniaga dalam mesin basuh yang diletakkan di tandas ketika operasi bersepadu dan pemantauan kedai makan sepanjang Ramadan pada 26 Mac 2023. Foto Facebook Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam

“Hasil soal siasat, pemilik rumah (peniaga) mengaku membungkus nasi itu sebelum pembeli menghubunginya untuk mengambil makanan tersebut.

“Wanita berkenaan memaklumkan dia menjual dari rumah pada Ramadan kepada individu yang tidak berpuasa,” katanya yang telah memberi amaran tegas kepada peniaga terbabit.

Suratemi menambah wanita tersebut akan diberi kaunseling supaya tidak lagi mengulangi perbuatan berkenaan dan tiada tangkapan membabitkan pembeli pada hari kejadian.


Pengarang :