Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri belanja RM4.16 juta jaya jelajah bantuan rakyat fasa pertama

SHAH ALAM, 14 MAC: Penganjuran Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) fasa pertama di sembilan lokasi seluruh negeri menelan belanja RM4.16 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bagi menjayakan program yang dahulu dikenali Jelajah Selangor Penyayang (JSP) diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Beliau turut memaklumkan jelajah yang disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran mencecah 14,100 di lapan lokasi setakat minggu lepas.

“Insya-Allah hujung minggu ini, JKSP akan sampai ke lokasi ke sembilan di Sabak Bernam. Kali ini kita guna pendaftaran orang ramai secara manual,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi berhubung kos dibelanja Kerajaan Negeri bagi menjayakan JKSP dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin mengenai komponen dalam JKSP pula, Amirudin berkata JKSP masih mengekalkan komponen JSP dengan memperkenal insentif dalam program Iltizam Selangor Penyayang.

“(Ia termasuk) penerangan program INSAN (Skim Insurans Am Selangor), RiDE (Roda Darul Ehsan) selain pendaftaran Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan mengemas kini maklumat program IMPAK (Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor),” katanya.

JKSP membuka tirai pada 18 Februari di Klang dan berakhir di Sabak Bernam Ahad ini, manakala Rumah Terbuka Aidilfitri dan Rewang Sekampung mulai 28 April hingga 14 Mei.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan program berkenaan yang dianjurkan bermula Jun tahun lalu akan berlangsung sehari bagi setiap lokasi dengan pengisian lebih padat.


Pengarang :