EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan & Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman (tengah) menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara STDC dan Yide ketika Majlis menandatangani kerjasama program Kemahiran Penghuni Rumah Anak Yatim seluruh Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam 22 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor biaya 30 anak yatim jalani program latihan, kemahiran STDC

SHAH ALAM, 22 MAC: Seramai 30 anak yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menjadi kumpulan pertama mengikuti program latihan dan kemahiran di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) pada Mac.

Menurut EXCO pembangunan modal insan, mereka merupakan bekas penghuni dari 25 rumah anak yatim berusia 18 tahun yang akan memulakan pengajian dalam kursus kemahiran seperti elektrik, motosikal, penyamanan udara, automotif dan sistem komputer.

Mohd Khairuddin Othman berkata kos pembelajaran dan asrama dibiayai Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) selain pelajar diberi wang sara diri RM300 sebulan sepanjang tempoh enam hingga 12 bulan pengajian mengikut kursus.

“Program ini dijalankan hasil perbincangan dengan mereka yang mengurus anak yatim (Yide). Kita sedar ada dalam kalangan mereka sukar bawa diri selepas tamat menghuni di rumah perlindungan.

“Maka Kerajaan Negeri memandang serius dan berhasrat mewujudkan program ini bagi menyelesaikan masalah modal insan di samping mengawal kadar pengangguran,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pelan pembangunan modal insan pasca rumah perlindungan dan anak yatim Selangor di sini hari ini.

MoU itu ditandantangani Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah manakala STDC diwakili Pengurus Pusat Bertauliah Norzilawati Md Said.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata pihaknya bercadang untuk bekerjasama dengan Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menawarkan program selain kemahiran kepada anak yatim.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang menyerlah dalam bidang akademik dan kurang berminat dengan kemahiran.

“Saya akan bincang dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk beri pertimbangan ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Mazlan berkata keprihatinan Kerajaan Selangor membantu anak yatim seliaan Yide amat dihargai selain percaya bakat golongan berkenaan akan lebih menonjol suatu hari nanti.

“Saya sangat teruja dengan langkah Kerajaan Negeri mengadakan program begitu murni yang akan menentukan hala tuju anak yatim kerana mereka adalah tenaga insan diperlukan di Selangor,” katanya.


Pengarang :