Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Kali Ke-21 Sesi 2022 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 11 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri cadang perluas Akademi Literasi al-Quran di semua daerah

SHAH ALAM, 11 MAC: Kerajaan Negeri mahu memperluaskan Akademi Literasi al-Quran di enam lagi daerah di Selangor tahun depan.

Dato’ Menteri Besar bagaimanapun berkata perkara tersebut diteliti selepas melihat kejayaan pengajian itu yang kini berada di Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sepang.

“Sekiranya di ketiga-tiga daerah ini bertahan kita akan menyebar luaskan lagi akademi ini di semua daerah yang mana setiap daerah mempunyai satu mini literasi (akademi).

“Malah, dengan kewujudan akademi ini saya percaya semakin ramai dapat mengikuti pengajian al-Quran secara terlatih dan lebih sistematik.

“Ini memudahkan mereka mengajar kepada generasi akan datang,” katanya Dato’ Seri Amirudin Shari kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil Kali ke-21 bagi sesi 2022 yang diadakan di Hotel Concorde di sini hari ini

Tambah Amirudin, kewujudan akademi di setiap daerah itu juga tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

“Tak boleh tergesa-gesa, risau sekiranya tidak sempurna sebab ini melibatkan latihan, urusan dan kandungan al-Quran itu sendiri. Apapun kita perlu melihat (prestasi) di tiga daerah ini terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu awalnya panas kemudian sejuk di hujung sebaliknya kita mahu perkara ini dijadikan rutin dan boleh bertahan lama,” katanya.

Mengulas berhubung keistimewaan diterima oleh pelajar akademi terbabit, Amirudin berkata penerima itu berpeluang menjadi guru mengaji al-Quran dan menurunkan ilmu yang dipelajarinya selama setahun kepada masyarakat.

“Selama setahun pelajar ini mengikuti pengajian dalam akademi dan ia juga sebagai nilai tambah kepercayaan serta keyakinan orang ramai sekiranya mahu mencari guru atau yang boleh membimbing berkaitan ilmu al-Quran,” katanya.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan Akademi Literasi al-Quran bagi melahirkan umat Islam mahir membaca, mengajar, mengamal dan mempersenikan kitab suci.

Akademi itu dilancarkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1444H/2022M.

Seramai 60 pensyarah dilantik bagi memberdaya pembacaan al-Quran berpandukan riwayat Hafs ‘An ‘Asim melalui Toriq Syatibiyyah.


Pengarang :