Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze ketika usul menjunjung kasih titah Tuanku pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri disaran lanjut moratorium pembalakan, tangani perubahan iklim

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Negeri disaran melanjut tempoh moratorium pembalakan yang dilaksana sejak 2010 selama 25 tahun demi menjamin kelestarian sumber alam.

Wakil rakyat Subang Jaya berkata pentadbiran negeri perlu memikirkan kaedah baharu bagi menjana pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada sektor berkenaan.

Berikutan itu Michelle Ng Mei Sze mencadangkan penghasilan sistem kredit karbon yang boleh dijual kepada kepada syarikat atau negara lain.

“Kredit karbon dihasilkan melalui projek-projek yang dapat mengurangkan karbon daripada atmosfera. Fungsi hutan dapat mengimbangi penghasilan karbon dan boleh dijual,” katanya ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Michelle juga menyarankan bidang kuasa Kerajaan Negeri dibincang semula bagi menangani isu perubahan iklim dengan lebih serius.

Jelasnya, kebanyakan sumber pendapatan negeri bergantung kepada aktiviti yang menyebabkan kemusnahan alam sekitar seperti perlombongan dan pembalakan.

“Hujung 2021 Selangor alami banjir yang merekodkan kerugian sebanyak RM3.1 billion. Disember 2022, kejadian tanah runtuh di Batang Kali berlaku akibat ketepuan tanah dan takungan air bawah tanah bawah tapak perkhemahan berkenaan.

“Kedua-dua kejadian ini memberi gambaran kecil bahawa bencana berterusan mampu berlaku jika tindakan drastik tidak diambil untuk menangani isu perubahan iklim,” katanya.


Pengarang :