EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada Media Selangor ketika Misi Bantuan Selangor Penyayang : Bantuan Pembersihan Pasca Banjir Johor Darul Takzim di Taman Chaah Baru, Johor pada 10 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri pertimbang hantar misi bantuan pembersihan fasa dua di Johor

LABIS, 10 MAC: Kerajaan Negeri sedia mempertimbang keperluan menghantar misi bantuan pembersihan banjir fasa dua di Johor.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata Selangor memiliki kekuatan ramai anggota yang berpengalaman mengurus situasi itu selain aset mencukupi.

“PBT (pihak berkuasa tempatan) Johor minta kita untuk lanjutkan misi bantuan, cuma kita akan tengok fasa dua (pembersihan) selepas ini.

“Kita ada kekuatan ramai sukarelawan dan aset boleh diguna pakai untuk bantu selesaikan masalah di tempat banjir.

“Pengalaman mengurus bencana di Selangor, Pahang dan Kedah sebelum ini akan kita gunakan untuk bantu di sini (Johor),” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu hanya akan diputuskan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Insya-Allah (misi bantuan pembersihan fasa dua diteruskan) kalau ada keperluan. Kita tunggu isyarat dan arahan beliau (Amirudin),” katanya.

Seramai 291 anggota agensi Kerajaan Negeri terdiri daripada PBT, Serve, Team Selangor dan KDEB Waste Management (KDEBWM) digerakkan dalam misi bantuan pascabah fasa dua di Johor.

Misi yang berakhir hari ini menumpukan pembersihan sisa pukal di sembilan lokaliti terjejas banjir sekitar Labis menggunakan 107 aset antaranya lori tangki, jentera pengorek-kaut, kenderaan pacuan empat roda dan lori RoRo.


Pengarang :