EXCO Hal Ehwal Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni (belakang, tengah) bersama wakil pihak berkuasa tempatan selepas sesi penyerahan cek cura peruntukan program kutipan minyak masak terpakai sempena majlis pengguna arif minyak masak terpakai di Masjid Kota Raja, Klang pada 4 Mac 2023. Foto Facebook Zawawi Mughni
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri peruntuk RM165,000 pergiat program kutip minyak masak terpakai

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Selangor memperuntuk sebanyak RM165,000 bagi mempergiat program kutipan minyak masak terpakai seluruh negeri.

EXCO Hal Ehwal Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata dana tersebut disalur kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sembilan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid).

“Bagi memperbanyakkan pusat pengumpulan minyak masak, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif memberi peruntukan kepada setiap PBT dan Paid.

“Peruntukan sebanyak RM10,000 disalurkan kepada setiap PBT dan RM5,000 untuk sembilan Paid bagi menjalankan program pengutipan minyak masak terpakai,” katanya di Facebook.

Sabtu lalu, Mohd Zawawi melancarkan program Pengguna Arif Minyak Masak Terpakai bagi mempromosi kempen penggunaan minyak masak terpakai selain memupuk kesedaran masyarakat memulihara sumber air, sungai dan pantai.

Beliau berkata program terbabit menyasarkan penduduk kawasan kediaman, peniaga kedai makan, pengusaha dewan makan asrama, sekolah dan kafeteria.

“Kempen ini diharap dapat mendidik rakyat menerapkan nilai kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta mempraktikkan kitar semula dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.


Pengarang :