Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang Daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ pada 12 Mac 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri teliti kaedah terbaik bantu pembeli dapat pinjaman bank, penuhi impian miliki rumah

PETALING JAYA, 12 MAC: Kerajaan Negeri sedang meneliti kaedah terbaik bagi mengatasi isu kesukaran pemohon Rumah Selangorku mendapat kelulusan pembiayaan bank.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya melalui Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) mengesan sebanyak 60 peratus daripada pemohon terpaksa menolak tawaran kediaman mampu milik berkait isu pinjaman.

“(Misalnya) kita keluarkan surat tawaran kepada 100 orang dan 60 orang menolak (tawaran) kerana ada masalah pinjaman.

“Sebab itu tahun ini, insya-Allah kita tengah teliti saat akhir bagaimana mahu tangani 10 peratus yang menolak tawaran. Kita akan umum kaedah terbaik dalam masa terdekat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ, Desa Mentari 3, hari ini. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Sementara itu, Rodziah berkata pihaknya juga akan membincangkan perkara tersebut bersama Kementerian Kewangan Malaysia.

“Apa yang beliau (Amirudin) maklumkan amat benar iaitu masalah besar (pemohon menolak tawaran) kerana pinjaman.

“Kita akan bersama MoF melihat bagaimana untuk bantu mereka yang tiada butiran pinjaman terutama penjaja kecil dan pekerja kontrak,” katanya.

Semalam, Rodziah memaklumkan hampir 120,000 pemohon Rumah Selangorku dalam senarai menunggu, berdasarkan rekod Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).

Jumlah itu melebihi sekali ganda daripada sasaran Kerajaan Negeri yang merancang membina 60,000 unit rumah mampu milik itu menjelang 2025.


Pengarang :