Orang ramai melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dalam pameran awam di pusat beli-belah SACC, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Negeri terima puluhan ribu cadangan bangunkan semula kompleks sukan

SHAH ALAM, 14 MAC: Pameran Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bulan lalu menerima puluhan ribu pandangan dan cadangan.

Dato’ Menteri Besar berkata semua pandangan diterima secara fizikal dan dalam talian sepanjang penganjuran pameran dari 26 Januari hingga 10 Februari di pusat membeli-belah SACC di sini.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pihaknya kini sedang meneliti kos keseluruhan stadium melibatkan pembangunan atas tanah seluas 171.816 ekar sebelum ke peringkat seterusnya.

“Secara asas, 50 peratus kawasan akan dibangunkan dengan kemudahan sukan, 30 peratus dijadikan taman dan kawasan hijau dan selebihnya untuk utiliti dan komersial yang diurus Kerajaan Negeri.

“Kita sedang bincang dan lihat kos keseluruhan termasuk pertukaran tanah kerana tidak mahu kacau tanah berhampiran. Mulai April, kebenaran merancang boleh dihantar untuk kita mulakan proses pembinaan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan pembangunan semula kompleks sukan terbabit secara perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad akan bermula suku pertama tahun ini.

Beliau turut menjangka projek termasuk pembangunan stadium negeri itu siap seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 dan dilengkapi pelbagai kemudahan canggih.

Stadium terbabit juga bakal mempunyai tiga jenis padang yang boleh dialih mengikut kesesuaian aktiviti iaitu padang rumput, padang sintetik dan penggunaan lantai konkrit.

 


Pengarang :