Orang ramai menunggu giliran untuk divaksin dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa, Kuala Kubu Bharu pada 24 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri tingkat kempen kesedaran, galak lebih ramai ambil dos penggalak

PETALING JAYA, 12 MAC: Kempen kesedaran awam akan dipertingkat bagi menggalakkan lebih ramai penduduk negeri ini mengambil suntikan penggalak Covid-19 menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kadar pengambilan suntikan dos penggalak dalam kalangan rakyat masih rendah.

“Jadi saya percaya ia (kempen) patut dilaksanakan besar-besaran selain kesedaran awam (untuk mengambil suntikan penggalak).

“Mengambil suntikan penggalak akan meningkatkan lagi perlindungan dan kawalan kepada masyarakat terutama daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ, Desa Mentari 3 dekat sini hari ini.

Amirudin turut menyarankan pengambilan suntikan penggalak berikutan ramai pelancong asing mula memasuki negara ini.

“Kalau rakyat ambil dos penggalak lebih baik terutama jika hendak ke luar negara. Tambahan pula kita mahu membuka sempadan kepada orang luar untuk datang.

“Ini mungkin akan menjemput penyakit-penyakit lain yang masih boleh tersebar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kes jangkitan Covid-19 yang dimasukkan ke hospital terkawal buat masa ini.

“Mungkin sekitar 60 hingga 70 peratus sehari (jangkitan), tetapi kadar ditempatkan di hospital sangat kurang. Angka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) juga sangat kurang,” katanya lagi.

Bermula 7 Februari lalu, program pemberian suntikan Covid-19 dan dos penggalak secara percuma diteruskan dengan kerjasama 15 rangkaian Klinik Selcare dan THE KL Clinic negeri ini.

Ketika negara dilanda pandemik, Kerajaan Negeri melaksanakan program Selvax bagi mempercepat imunisasi rakyat diikuti program dos penggalak di bawah Selvax Booster.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah memaklumkan Selangor memiliki bekalan simpanan suntikan penggalak vaksin Covid-19 mencukupi terutama bagi vaksin jenama Sinovac.


Pengarang :