Orang ramai mendapatkan maklumat mengenai Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) pada program Jelajah Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri tubuh pusat pendidikan teknikal, vokasional penuhi keperluan pekerja mahir

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kerajaan Negeri melaksanakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan mewujudkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata biarpun terdapat beberapa kekangan, institusi pendidikan teknikal perlu ditubuhkan supaya pelajar dapat mengisi peluang pekerjaan dengan kemahiran tertentu.

“Ramai mengatakan negara kekurangan tenaga kerja dan apabila datang ke beberapa sesi untuk menarik pelabur dalam serta luar negara kita berdepan dengan masalah untuk beri keyakinan dan kemahiran tertentu.

“Selangor wujudkan STDC supaya menguasai 70 ke 80 peratus sektor pembuatan dan kini berjaya menjalin kerjasama dengan Siemens, Apple, Festo dan Dassault System,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 di Parlimen, semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga merupakan ahli parlimen Gombak memaklumkan peruntukan tinggi yang diberikan kepada Kementerian Pendidikan adalah penting dan harus disokong.

“Belanjawan bukan sahaja berkaitan program ekonomi tetapi perlu kembali pada asas iaitu bidang pendidikan.

“Pendidikan asas penting dan harus disokong bagi memastikan kita mempunyai kemahiran TVET yang secukupnya,”katanya.

STDC adalah institusi pendidikan teknikal yang bernaung di bawah Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai pemegang saham terbesar di dalam syarikat.

Pada Ogos 2020 Kolej Antarabangsa INPENS yang bertempat di Kuala Selangor dijenamakan semula sebagai STDC bagi memperkasakan TVET.


Pengarang :