Seorang penduduk Kampung Bering, Pos Pasik menjala ikan di Sungai Kenong, yang membekalkan sumber air kepada 27 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar di kampung tersebut. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Orang Asli cekal berpuasa, biasa berbuka dengan ubi kayu kerana kehabisan makanan

GUA MUSANG, 24 MAC: Sukar mendapatkan bekalan makanan asas kerana lokasi jauh dari bandar, tidak menjadi alasan bagi masyarakat Orang Asli Temiar di Pos Hendrop, di sini untuk menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Guru Agama dan Imam lantikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Aris Rami, 53, berkata situasi tersebut merupakan perkara biasa buat masyarakat Orang Asli di penempatan itu, ibarat ‘alah bisa tegal biasa’ dan masing-masing tetap cekal berpuasa hingga waktu berbuka.

“Kami terpaksa menempuh perjalanan melebihi 100 kilometer (km) pergi dan balik ke bandar Gua Musang bagi membeli makanan asas untuk keperluan berbuka puasa dan aktiviti moreh selepas solat tarawih.

“Hidangan moreh perlu ada walaupun sedikit kerana dalam bulan Ramadan selain solat tarawih pelbagai aktiviti lain dilakukan untuk mengimarahkan masjid termasuk tadarus al-Quran dan kelas mengaji untuk anak Orang Asli,” katanya ketika ditemui di Pos Hendrop di sini.

Bercerita lanjut, Aris berkata masyarakat suku kaum Temiar di kawasan itu tidak menghadapi masalah dari segi keadaan jalan kerana ia sudah bertar, tetapi tiada kenderaan untuk bergerak.

“Jarak yang jauh adalah cabaran besar buat kami di sini, walaupun keadaan jalan sudah baik tidak semua Orang Asli di sini mempunyai kenderaan sendiri. Kami perlu mengumpul senarai barang yang ingin dibeli sebelum berpakat untuk ke bandar,” katanya.

Justeru, Aris berkata situasi berbuka dengan ubi kayu dan sedikit kuih muih sebagai alas perut adalah perkara biasa bagi mereka ketika kehabisan bekalan makanan asas sebelum sempat keluar ke bandar.

Sementara itu, Penghulu Pos Hendrop Bidi Ronggeng berkata kekangan yang dihadapi penduduk di penempatan itu tidak membuatkan ibadah puasa mereka terbantut.

Malah, beliau bersyukur kerana sering diberi bimbingan dalam mengamalkan cara hidup Islam selain turut berkesempatan mendalami ilmu agama hasil daripada usaha beberapa agensi yang prihatin.

“Sebelum ini kami dikunjungi pelajar Antropologi dan Dakwah, Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang membantu kami membuat persiapan menyambut Ramadan.

“Alhamdulillah dengan tunjuk ajar yang diberikan, kami lebih bersedia untuk menghadapi Ramadan. Walaupun kami sudah lama memeluk Islam, masih banyak yang kami perlu pelajari,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :