Orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring sempena Jelajah kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Sekolah Rendah Agama Kampung Medan 2, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang ramai sambut baik saringan kesihatan percuma, ramai datang kali kedua

PETALING JAYA,12 MAC: Pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri membantu mengesan penyakit di peringkat awal sekali gus mempercepat proses rawatan lanjut.

Pengurus Besar Selgate HealthCare Dr Shahrul Nizam Ahmad Zamzali berkata sebagai contoh pada tahun lalu, kira-kira empat peratus wanita memerlukan pemeriksaan susulan selepas menghadiri program Selangor Saring.

Pengurus Besar Selgate HealthCare Dr Shahrul Nizam Ahmad Zamzali. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Seramai 5,150 wanita menjalani pemeriksaan saringan serviks tahun lalu dan 209 atau empat peratus perlukan pemeriksaan susulan.

“Ini bermaksud, program Selangor Saring membantu mengesan penyakit di peringkat awal supaya rawatan lanjut dapat dilakukan,”katanya.

Beliau ditemui pada program Selangor Saring sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Petaling di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan 2 di sini, hari ini.

Beliau yang juga pakar perubatan berkata program Selangor Saring mendapat sambutan menggalakan malah ada dalam kalangan mereka datang kali kedua untuk menjalani pemeriksaan.

“Pemeriksaan tahun lepas tiada apa-apa dan tahun ini mereka meneruskannya bagi memastikan mereka tiada sebarang penyakit. Usaha ini dapat membudayakan pemeriksaan kesihatan selain dapat berkongsi maklumat kesihatan lain,” katanya.

Tahun lepas, Kerajaan Negeri memperkenalkan Selangor Saring dari Mei hingga September melibatkan peruntukan RM3.4 juta bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal.

Menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat, program itu berjaya memanfaat lebih 45,000 peserta menjalani pemeriksaan kesihatan dengan 4,809 individu disaran mendapat rawatan lanjut.

Selain saringan fizikal, Selangor Saring turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri meneruskan Selangor Saring di setiap penganjuran JKSP dan pada fasa ini beberapa saringan lain ditambah antaranya pemeriksaan gigi, telinga dan mengadakan sesi fisioterapi.


Orang ramai menunggu giliran menjalani pemeriksaan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring sempena Jelajah kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Sekolah Rendah Agama Kampung Medan 2, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :