Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menutup lot tanah yang melakukan kerja-kerja tambakan tanah secara haram di di Persiaran Saujana, Taman Mulia Jaya pada 26 Mac 2023. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

Padah tambak tanah secara haram, pemilik lot dikompaun, laluan masuk ditutup

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Pemilik lot tanah yang menambak tanah secara haram di Persiaran Saujana, Taman Mulia Jaya pada 26 Mac lalu dikompaun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Yang dipertua MPAJ berkata tindakan diambil atas aduan aktiviti keluar masuk lori di lot berkenaan dan hasil semakan mendapati terdapat kerja menambak tanah merah di lokasi tersebut.

Mohd Fauzi Mohd Yatim memaklumkan sebelum ini lot sama merupakan lokasi pembuangan sisa binaan dan kerja tambakan tanah yang dijalankan bertujuan menutupi timbunan sisa berkenaan.

“Satu kompaun dikeluarkan kepada pemilik lot selain MPAJ turut menutup kawasan tersebut dengan hadangan batu-bata atau barrier di pintu serta mengarahkan segala aktiviti diberhentikan serta-merta,” katanya menerusi kenyataan.

Pemilik lot di Persiaran Saujana, Taman Mulia Jaya, Ampang Jaya dikesan menjalankan kegiatan menambak tanah secara haram pada 26 Mac 2023. Foto MPAJ

Mengikut Seksyen 70A (9), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), pemilik lot boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM50,000.00 atau kedua-duanya sekali.

Mohd Fauzi menambah semua kerja tanah yang dijalankan tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan serta mampu menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat.

“MPAJ akan terus membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas berhubung kesalahan yang sama seperti ini,” katanya lagi.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkenaan kerja-kerja tanah tanpa kebenaran atau aduan lain melalui pautan https://mpaj.spab.gov.my


Pengarang :