SHAH ALAM, 19 MAC: Padanan Perniagaan dalam Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 minggu lalu mencatat transaksi bernilai RM57.4 juta, mengatasi sasaran RM50 juta.
EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata angka itu membabitkan kerjasama yang dimeterai antara pembekal dan pasaraya terkemuka dari dalam dan luar negara.
Beliau turut menjangkakan peningkatan transaksi dalam tempoh beberapa minggu akan datang berikutan ada syarikat yang masih berminat untuk membuat padanan perniagaan.
“Kami sebenarnya dalam proses untuk mendapatkan angka terakhir sebab masih ada lagi (syarikat) yang ingin buat padanan perniagaan.
“Ini kerana mereka tidak sempat berbuat demikian pada hari tersebut disebabkan kesuntukan masa,” katanya ditemui selepas merasmikan Hari Pengguna peringkat Selangor di Dewan Teratai, Seksyen 19 di sini semalam.

Sementara itu, beliau menerima maklum balas positif daripada pempamer yang terlibat sepanjang tiga hari persidangan dari 10 hingga 12 Mac di Pusat Dagangan Kuala Lumpur.
“Mereka ada hantar maklum balas bersurat dan maklumkan dapat pasaran baharu. Contohnya ada yang buat perniagaan membekal vending machine dan produk.
“Yang bekal produk masuk dalam vending machine, jadi mereka dapat perniagaan di situ sahaja difahamkan RM300,000,” katanya.

Selain disertai agensi negeri antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Jabatan Agama Islam Selangor, persidangan menarik minat Bank Islam, Bank Muamalat, Penang Halal International dan Melaka Halal Hub.
Nama-nama besar yang turut serta antaranya Farm Fresh Malaysia, Sate Kajang Hj Samuri, Nims Crispy Chocotub, Restoran Hameediyah dan Yayasan Hijrah Selangor.
Selhac pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.