Lori Roll On Roll Off (RORO) KDEB Waste Management (KDEBWM) menghantar sisa pukal di pusat pengumpulan sisa banjir ketika Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang: Bantuan Pembersihan Pascabanjir Johor Darul Takzim di Chaah Tengah, Segamat, Johor pada 9 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pascabah: KDEBWM sasar kutip 150 tan sisa pukal dari lima lokasi terjejas

LABIS, 10 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjangkakan sebanyak 150 tan sampah pukal dikutip dari lima kawasan sekitar daerah ini sepanjang dua hari operasi pembersihan pascabanjir di Johor.

Menurut pengurus kanan operasinya, unjuran itu berdasarkan kemampuan lima unit lori Roll On Roll Off (RoRo) membuat 50 pusingan kutipan dari Taman Damai Jaya 2, Taman Sri Chaah, Jalan Perwira, Taman Muhibah dan Taman Nesa ke pusat pengumpulan sisa sementara di Pekan Chaah.

“Setiap lori RoRo boleh memuatkan lebih tiga tan sampah pukal bagi setiap pusingan dan pasukan kita dianggotai 17 kakitangan mampu membuat 16 pusingan bagi setiap tiga jam operasi.

“Insya-Allah proses kutipan lebih mudah dan cepat kerana pusat transit terletak kurang satu kilometer dari penempatan terbabit. Jika tidak agak sukar untuk kita mempercepat kutipan sisa,” kata Zulhazmi Musa di sini semalam.

Pengurus Kanan Operasi KDEBWM Zulhazmi Musa. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambahnya, kerja pembersihan tinggalan banjir seperti perabot, sofa dan almari menjadi lebih mudah dengan bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memiliki kemudahan jengkaut pengorek.

“PBT yang ada jengkaut pengorek akan bersama kita di kawasan untuk kutip sampah pukal dan proses memenuhkan muatan lori RoRo hanya ambil masa 20 minit berbanding kaedah manual,” katanya.

Setakat 5 petang semalam, sebanyak 70 tan sampah berjaya dialih dari kawasan berkenaan membabitkan 35 pusingan.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada petugas Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa kedua yang bertungkus-lumus membantu proses pembersihan dan pelupusan sampah pascabanjir di Johor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kawasan tumpuan pada hari kedua adalah di Chaah iaitu antara yang paling teruk terjejas.


Pengarang :