EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman memberi taklimat kepada sukarelawan Misi Bantuan Selangor Penyayang 2.0 di pusat operasi bencana Majlis Daerah Labis (MDL), Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA

Pascabah: Misi sukarelawan Selangor bersih sisa pukal di sembilan penempatan

LABIS, 8 MAC: Misi bantuan pascabanjir fasa dua di daerah ini menumpukan pembersihan longgakan sisa pukal dari sembilan penempatan penduduk yang terjejas teruk akibat bencana awal bulan ini.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata pembersihan tinggalan seperti perabot, tilam, tayar buruk dan almari perlu disegerakan selepas banjir di kawasan terbabit semakin pulih.

“Misi pembersihan kali ini adalah untuk membawa keluar sebanyak mungkin barangan pukal dari kawasan awam dan taman yang berhari-hari tidak diangkat.

“Memandangkan air sudah mula surut, jadi fokus perlu diberikan terhadap aspek ini walaupun kita tahu banyak barangan berat akan dikeluarkan dalam pascabanjir,” katanya.

Beliau ditemui selepas taklimat penugasan anggota Misi Bantuan Selangor Penyayang 2.0 di pusat operasi bencana Majlis Daerah Labis (MDL) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Muhammad Hanafi Ahmad dan Yang Dipertua MDL Herman Raban.

Longgokan sisa pukal susulan banjir besar yang melanda di Chaah Tengah, Segamat, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata pihaknya sedia untuk melaksanakan pembersihan dalam kediaman mangsa terlibat, namun bergantung kepada keperluan.

“Kita ada tiga hari sahaja untuk selesaikan pembersihan awam, kalau ada permohonan (bersihkan rumah peribadi), kita akan hantar Sukarelawan Selangor (Serve) dan Team Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan berdepan cabaran sepanjang tiga hari misi bantuan pascabanjir terutama untuk mendapat kerjasama daripada penduduk setempat.

“Selain hubungan jalan raya terputus, saya tengok cabaran besar lain dihadapi (kerjasama) penduduk tempatan. Mungkin ada yang tidak setuju kita korek sana sini di kawasan mereka.

“Itu antara halangan berdasarkan pengalaman mengurus operasi pembersihan banjir di Hulu Langat pada Disember 2021,” katanya lagi.

Seramai 291 anggota pelbagai agensi Selangor digerakkan bagi menjayakan operasi pembersihan di sembilan lokasi daerah ini antaranya Kampung Jawa Baru Chaah, Kampung Kangkar 1 dan 2, Taman Damai Jaya 2, Taman Sri Chaah dan Taman Orkid.

Kenderaan Pejabat Kesihatan Segamat membuat semburan kabus untuk mencegah aedes selepas banjir surut di Chaah Tengah, Segamat, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :