DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-69 di Istana Melawati, Putrajaya pada 6 Mac 2023. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Pengerusi MKI. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pastikan institusi agama bebas pengaruh politik, ulama urus isu Islam

SHAH ALAM, 6 MAC: Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berperanan memastikan pentadbiran institusi agama bebas pengaruh politik dan diserahkan kepada ulama serta profesional.

Pengerusinya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah pemerkasaan semula badan itu yang dipersetujui Majlis Raja-Raja sebagai usaha menambah baik tadbir urus Islam di peringkat persekutuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah usaha itu juga penting untuk mengimbangi kuasa, hak dan peranan Raja-Raja Melayu dalam hal ehwal Islam di peringkat persekutuan serta negeri.

“Usaha ini juga bertujuan memenuhi aspirasi Umat Islam di Malaysia, terutama yang berkaitan dengan dasar bidang pengurusan, perundangan, pendidikan dan penyelarasan fatwa,” titah Baginda.

Bertitah ketika mempengerusikan mesyuarat MKI ke-69 di Putrajaya hari ini, Sultan Selangor turut memperkenan Peraturan-Peraturan MKI 2022 bagi menambah baik urusan majlis tersebut.

Dalam pada itu, Baginda turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik menteri hal ehwal agama bukan dalam kalangan ahli politik.

Baginda bertitah pelantikan itu menjamin prinsip pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan memastikan kedudukan Raja-raja Melayu dipelihara.

“Diharapkan hubungan kerjasama antara persekutuan dan negeri-negeri dalam hal pentadbiran Islam terjalin dengan lebih erat selari ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW,” titah Baginda.

 


Pengarang :