Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin, Batu Uban, George Town pada 4 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

PDRM pantau media sosial kumpulan yang dikaitkan dengan Daesh

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memantau rapi aktiviti media sosial kumpulan di negara ini yang dikaitkan dengan pengganas Daesh seperti dilaporkan beberapa media tempatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan itu didapati adalah berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland.

Beliau berkata PDRM sejak awal telah mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial yang digunakan kumpulan pengganas itu untuk meraih sokongan.

“Antara langkah PDRM ialah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian agar tindakan dapat diambil ke atas pihak yang dikenal pasti terlibat.

“Dalam usaha ini, semua agensi sedang memainkan peranan secara aktif dan pemantauan telah ditingkatkan bagi memastikan tahap ancaman keselamatan terjamin,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Acryl Sani turut memberi jaminan bahawa situasi semasa tahap keselamatan negara adalah terkawal dan menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan laporan media berhubung perkara itu.

Katanya PDRM komited dalam memastikan sebarang kegiatan yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat.

– BERNAMA


Pengarang :