AGENDAJENAYAH

Pelajar kolej, buruh ditahan terlibat sindiket edar dadah

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai RM213,000 di Lembah Klang menerusi penahanan dua lelaki termasuk seorang warga asing pada 25 dan 27 Mac lepas.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata dalam serbuan pertama di Jalan 9 di sini pada 25 Mac, polis menahan seorang pelajar kolej swasta berumur 19 tahun dan merampas 6 kilogram (kg) kek mengandungi dadah jenis ganja bernilai RM21,000.

Beliau berkata suspek yang bebas rekod jenayah lampau itu dipercayai aktif mengedar kek ganja sejak tiga bulan lepas, namun punca bekalan dadah berkenaan masih dalam siasatan.

“Dalam serbuan kedua di Subang Jaya, Selangor pada 27 Mac, seorang buruh kebun warga Indonesia ditahan dan polis merampas 56 kg dadah yang ditanam pada kedalaman satu meter di kawasan tanah terbiar, dianggarkan bernilai RM166,000.

“Suspek berumur 31 tahun serta positif dadah jenis methamphetamine itu berperanan untuk menjaga bekalan dadah yang ditanam itu. Turut dirampas 1 kg syabu bernilai RM26,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah terbabit mampu menampung penggunaan oleh 126,000 penagih dadah.

Yahaya berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari daripada tarikh tangkapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya kini sedang mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat.

– BERNAMA


Pengarang :