Pelakon, Siti Sharizah Saifuddin (Eja) (kanan) bersama Anak Nur Eishal (tengah) dan suaminya Mohd Silahuddin Jamaluddin (kiri) menunjukkan produk keluaran syarikat mereka ketika Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (Selhec) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 10 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelakon Eja sertai Selhac, mahu perkenal sambal habbatus sauda ke luar negara

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 memberi peluang kepada pelakon, Siti Shahrizad Sharifudin atau lebih dikenali sebagai Eja memperkenalkan empat produk sambalnya.

Eja, 51, berkata produk sambal sedia dimakan dibawah jenama Eishal’s by Eja itu mula dihasilkan sejak tahun lalu menggunakan bahan-bahan premium.

Beliau menjelaskan ia dihasilkan menggunakan bahan semula jadi seperti garam bukit dan gula perang, selain satu-satunya sambal yang mengandungi habbatus sauda.

“Kita ada empat produk sambal iaitu sambal limau, petai, ikan masin dan ikan bilis. Kita juga tidak menggunakan belacan kerana mengambil kira pengguna yang mempunyai masalah alergi.

“Kita sasarkan pelanggan daripada semua lapisan masyarakat kerana sambal petai dan limau merupakan mesra vegetarian, dan ia juga tidak terlalu pedas,” katanya kepada Selangorkini, hari ini.

Eja antara kira-kira 200 pempamer yang menyertai Selhac 2023 yang bermula hari ini sehingga Ahad di Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur Kuala Lumpur  (WTCKL) di sini.

Beliau menambah produk sambal yang dinamakan sempena nama anaknya, Nur Eishal, 13, dijual pada harga RM22 sebotol dan boleh didapati di beberapa pasaraya terkemuka.

Eja yang juga anak kelahiran Selangor mahu mengintai peluang untuk melebarkan sayap perniagaannya ke peringkat antarabangsa menerusi peluang padanan perniagaan di Selhac 2023.

“Jika kita ada produk bagus, jangan hanya jadi ‘jaguh kampung’. Walaupun kami masih bertatih tetapi kami ada cita-cita besar.

“Tahun ini kami mahu cuba tembusi pasaran di Brunei dan Singapura. Dengan adanya program seperti ini, ia turut membantu kami bertemu potensi perniagaan yang baik,” katanya.


Pengarang :