Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berswafoto bersama peserta ketika majlis penyerahan inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 24 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Pelbagai insentif negeri tingkat mutu kehidupan anak muda

Sepanjang 15 tahun ditadbir Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat), Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada anak muda untuk persediaan masa depan mereka.

Didiami hampir separuh penduduk berusia antara 15 hingga 39 tahun, Selangor giat berusaha membangunkan keupayaan generasi muda termasuk menggubal Dasar Belia Negeri 2020.

Wartawan Alang Bendahara memperinci sebahagian usaha memperkasa anak muda, dari latihan hingga peluang pekerjaan.

Karnival kerjaya

Selangor sering menganjurkan program ini dengan pelbagai nama. Bagi berdepan dengan pandemik Covid-19 mulai 2020, program itu diteruskan dalam skala besar iaitu Karnival Kerjaya Mega Selangor yang menawarkan 50,000 pekerjaan.

Kira-kira 7,000 pencari kerja menyertai program siri pertama, diikuti 20,000 lagi dalam siri kedua pada 2022. Karnival itu bagi memastikan kadar pengangguran di Selangor kekal bawah empat peratus.

Tawaran kerja disediakan lebih 100 syarikat yang menyertai acara tersebut antaranya Malayan Banking Berhad, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd dan DRB Hicom Berhad selain agensi negeri.

Program berkenaan diteruskan melalui program Karnival Selangor Kerjaya pada tahun ini menerusi peruntukan RM1.4 juta.

Orang ramai mendaftar sebelum menjalani temuduga sempena program Selangor Mega Job Fair 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE)

Program ini bermula pada 2020. Dalam Belanjawan Selangor 2023, peruntukan RM2 juta disediakan untuk RiDE susulan permohonan memberangsangkan belia yang berminat menjadi penghantar makanan atau barangan.

Ia menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Setakat Januari 2023, seramai 6,500 anak muda terpilih menyertai RiDE daripada lebih 14,000 permohonan. Mereka juga menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Selangor Kerjaya dan Selangor Freelance

Sistem profil, padanan kerja dan latihan kemahiran diperkenal dalam program Selangor Kerjaya pada 2021 bagi memadankan kebolehan pencari kerja dan keperluan majikan.

Program anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melibatkan 10,000 tenaga kerja.

Selangor Freelance bawah PNSB pula program khusus bagi meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan melalui ekonomi sampingan digital.

Melalui kerjasama platform Workana, aplikasi tersebut memberi kebebasan kepada individu untuk bekerja secara kontrak sekali gus majikan tidak perlu menggajikan pekerja sepenuh masa.

Insentif RM400 turut diberi kepada peserta yang lulus latihan. Profil mereka yang melepasi latihan dipapar kepada pelanggan bagi memilih anak muda untuk bekerja.

Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC)

Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor menyediakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) untuk anak muda mempelajari kemahiran tinggi.

Dijenama daripada Kolej Antarabangsa INPENS pada 2020, institusi bawah Kerajaan Negeri dan MBI itu menjalin kerjasama dengan syarikat ternama antaranya Siemens, Apple dan Festo.

Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

Sebanyak RM90 juta disediakan untuk program IKTISASS antara 2018 hingga 2022 (lihat rajah).

Bertujuan meningkatkan kemahiran anak muda menerusi penglibatan STDC dan melengkapkan pendidikan TVET, seramai 2,796 orang memperoleh manfaat tersebut.

Ia membolehkan lepasan latihan bekerja dan berniaga dengan kepakaran bertaraf antarabangsa. IKTISASS turut dilaksana dengan kerjasama institusi antarabangsa.

e-Sukan

Dana RM600,000 diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2023 untuk program e-sukan bagi menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang tersebut.

Menerusi pertandingan Xtiv Virtual sejak 2022, pelbagai acara dianjur antaranya PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021, FIFA Pro Club, Selangor Xtiv Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge.

Dimulakan sejak 2014, Selangor antara negeri awal yang mengadakan pertandingan seumpama itu.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari bergambar bersama Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue selepas merasmikan majlis penutupan latihan dan kursus Serve Rescue’ di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 17 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kesukarelawanan

Pada 2021, Sukarelawan Selangor (Serve) ditubuh bagi membentuk jentera sukarelawan untuk membantu masyarakat dan pentadbiran negeri dalam kecemasan.

Serve mensasarkan seramai 5,600 sukarelawan berdaftar iaitu 100 orang setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Insentif Perkahwinan Belia

Mula diperkenal pada 2013, bantuan tersebut menyediakan insentif RM200 kepada pasangan belia yang pertama kali berkahwin. Mulai Januari 2014, kadarnya naik kepada RM500 seorang.

Program bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) itu meringankan beban pasangan pengantin. Ia terbuka kepada anak negeri atau permastautin lebih 10 tahun meliputi pelbagai kaum.

Pada 2019, insentif itu dijajarkan semula kepada Program Insentif Generasi Muda Selangor (iGems) melalui pemberian RM300 seorang dan pasangan itu diwajib hadir kursus kekeluargaan.

Program Adun Muda Selangor

Program Adun Muda Selangor diadakan sejak 2013. Sehingga 2021, 467 peserta terlibat dalam program ini. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran politik generasi muda.

Pada 2020, program ini dijalankan secara maya sebagai langkah baharu meningkatkan keupayaan Dewan Negeri Selangor menganjurkan sebarang program secara dalam talian.

Penggerak Belia Selangor (PeBS)

Sebanyak RM2.83 juta diperuntuk Belanjawan Selangor 2023 kepada PeBS bagi melahirkan pemimpin pelapis.

Menyasarkan anak muda menjadi ejen perubahan dan jentera pelaksanaan dasar pembangunan belia peringkat akar umbi, sebanyak 159 program dijayakan PeBS pada 2022.

PeBS asalnya dijenamakan daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang ditubuh pada 2009.


Pengarang :