EXCO Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim (tiga kiri) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping (tiga kanan) bergambar selepas perasmian Program Smart Raya Selangor 2023 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 16 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peluang beli-belah kelengkapan raya di festival usahawan mulai 7 April

SHAH ALAM, 16 MAC: Selangor akan menganjurkan Festival Usahawan Gempak yang menawarkan pelbagai barangan keperluan dengan diskaun menarik sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 7 April.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata inisiatif Smart Raya Selangor 2023 yang menghimpunkan 150 usahawan tempatan diadakan selama tiga hari sehingga 9 April di Stadium Malawati di sini.

Dato’ Teng Chang Khim turut menjangka festival kendalian Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mampu menarik sehingga 25,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.

EXCO Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim bercakap pada sidag media program Smart Raya Selangor 2023 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 16 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya sangat teruja menyaksikan himpunan usahawan mikro dan makro, yang diharap sedikit sebanyak membantu usahawan di Selangor menjana pendapatan lebih bagi menyambut Aidilfitri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Sementara itu, Kai Ping berkata Sidec menyediakan baucar beli-belah berjumlah RM40,000 kepada pengunjung untuk ditebus sepanjang festival berkenaan selain hadiah cabutan bertuah.

“Mereka juga boleh menonton festival menerusi penstriman langsung kendalian Lazada di kawasan pameran termasuk persembahan artis, kebudayaan, aktiviti di reruai foto, ruang permainan kanak-kanak dan kehadiran selebriti terkenal serta pempengaruh,” katanya.

Syarikat terlibat dalam festival itu antaranya SimplySiti, Farm Fresh, Elrah Exclusive, Hush Puppies, Wonderlab (CUCKOO), CK Rahim, Obermain, Samu Giken, Inai Scarves dan Absolut Chocolate.

 


Pengarang :