Oleh Diana Abd Wahab
KUALA LUMPUR, 11 MAC: Pemain industri halal khususnya dari negeri ini gembira usaha mereka memartabatkan serta meningkatkan kualiti sektor tersebut diiktiraf Kerajaan Negeri.
Pengeluar minuman kordial dan jus Freshie (M) Sdn Bhd yang menerima Anugerah Setia Halal sempena persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 terharu selepas 40 tahun bekerja keras dalam industri minuman, syarikat itu akhirnya menerima pengiktirafan.

Eksekutif Pemasaran Rosnani Anwar berkata syarikat tersebt mendapat pensijilan halal dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejak 2002.
“Perniagaan kita terjejas akibat penularan Covid-19 tiga tahun lalu dan kini masih berusaha untuk bangunkan semula syarikat biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan harga barangan mentah.
“Kita lihat Selhac ini sebagai platform untuk kembangkan perniagaan menerusi peluang jalin kerjasama dengan peserta lain.
“Inisiatif Kerajaan Selangor sangat baik kerana ia mampu perkasakan industri halal khususnya bagi pemain Bumiputera kerana perniagaan ini banyak dimonopoli bangsa lain,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Makan Malam dan Aspirasi Selhac 2023 di di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam tadi.

Bagi penerima Anugerah Komited Halal, Wipro Unza (Malaysia) Sdn Bhd gembira kerana komitmen menghasilkan produk halal disedari Kerajaan Negeri.
Pengurus Korporat dan Kawal Selianya Rozaina Mahmod berkata biarpun organisasi antarabangsa yang diterajui usahawan Muslim Azim Premji itu berpusat di India, namun Wipro Unza komited menitikberatkan konsep halal dalam semua produk keluarannya.
“Kita sentiasa komited melaksanakan integriti halal memandangkan memiliki makmal kajian sendiri bernilai RM12.8 juta bagi memfokuskan kajian barangan halal bagi pasaran Malaysia dan antarabangsa.
“Semua produk kita antaranya Safi, Aiken, Carrie Junior, Dashing dan Enchanteur disahkan halal kerana kami serius hasilkan produk yang selamat dan suci untuk pengguna.
“Usaha anjurkan sidang halal ini dipuji kerana gabungkan banyak industri. Sektor halal luas bukan hanya berkisar kepada makanan dan minuman tetapi mencakupi kosmetik, fesyen dan gaya hidup. Kita harap Selhac ini menggalakkan lebih ramai pihak ceburi industri halal,” katanya.