Pemain Selangor FC Mohamad Faizal Abdul Halim ketika sesi latihan di pusat latihan Persatuan Bola Sepak Selangor di Shah Alam pada 20 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pemain sayap Selangor dalam proses menyesuaikan diri, perlu masa

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Ketua Jurulatih Selangor Tan Cheng Hoe tampil mempertahankan pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Abdul Halim yang masih memburu jaringan pertamanya bersama Gergasi Merah dalam saingan Liga Super musim ini.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemain berusia 25 tahun itu yang disifatkan telah beraksi dengan baik dalam tiga perlawanan setakat ini.

Katanya Mohamad Faisal sedang dalam proses menyesuaikan diri sekali gus memerlukan masa untuk kembali ke kemuncak prestasi.

“Kita tahu beliau (Mohamad Faisal) bermain begitu baik musim lepas dan dapat menjaringkan gol, tetapi kalau kita lihat memang beliau masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

“Walaupun tidak menjaringkan gol, tapi telah bantu pasukan berada pada satu tahap terbaik. Saya rasa pujian harus diberikan kepada beliau (Mohamad Faisal) kerana kualiti yang ada padanya,” kata jurulatih berusia 54 tahun itu ketika ditemui baru-baru ini.

Selepas tiga perlawanan, Mohamad Faisal yang sebelum ini beraksi untuk pasukan Terengganu, belum mencipta nama sebagai penjaring, namun beliau membalas kepercayaan apabila mencipta tiga bantuan gol dalam dua aksi pertama.

Musim 2022 menyaksikan pemain itu mengumpul keseluruhan 11 gol dalam kempen Liga Malaysia iaitu enam gol dalam saingan Liga Super, Piala FA (tiga) dan Piala Malaysia (dua).

Beliau turut memiliki rekod memberangsangkan di pentas antarabangsa selepas menjaringkan keseluruhan sembilan gol bersama pasukan kebangsaan dalam kesemua pertandingan tahun lepas.

Selangor setakat ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas melakar dua kemenangan masing-masing ke atas Kelantan United 1-0 dan Kuching City (5-0) serta seri 1-1 menentang Sri Pahang.

Pasukan itu dijangka bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang Ahad ini.

– BERNAMA


Pengarang :