Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas (tiga dari kiri) ketika melawat ruang pameran selepas melancarkan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS ) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pembangunan di Sepang, Kuala Langat buka potensi pelaburan baharu

SHAH ALAM, 15 MAC: Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) di Sepang dan Kuala Langat bakal membuka hab pelaburan dan kawasan perindustrian baharu di negeri ini.

Selain meningkatkan ekonomi, Dato’ Menteri Besar berkata projek dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 trilion itu juga mewujudkan pembangunan taman perindustrian yang lebih tersusun.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, projek yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) meliputi Selangor Business Capital, Sepang Gold Coast Global Village dan Unisel Global Campus.

Turut terkandung dalam projek tersebut ialah Selangor International Aeropark, Taman Industri Pintar NCT, Pelabuhan Pulau Carey dan Zon Ekoni Khas Pulau Carey.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pelancaran projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS ) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kalau berjalan serentak kita akan lihat satu perubahan landskap pembangunan Kuala Langat dan Sepang. Saya percaya pelaksanaan semua projek ini mampu menarik pelabur datang.

“Projek NCT dan aeropark sahaja meliputi 2,700 ekar dan yakin menarik minat pelabur,” katanya ketika melancarkan IDRISS di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Amirudin berkata lima insentif rangsangan diperkenal meliputi skim premium khas dan bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah bagi menggalakkan penyertaan pelabur dan memacu pembangunan projek.

Beliau menambah pengecualian cukai taksiran tanah kosong, potongan 50 peratus cukai taksiran bangunan kosong serta pengecualian bayaran lesen perniagaan turut ditawarkan.

“Ini semua menjadi daya tarikan dan kita mudahkan mereka untuk pastikan projek dimulakan. Kita mahu kurangkan beban pemaju supaya mereka mulakan lebih awal,” katanya.

IDRISS membabitkan pembangunan seluas lebih 16,000 hektar untuk memastikan agihan saksama bagi aktiviti ekonomi negeri selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Projek pembangunan dicadang seperti sektor perindustrian, perkhidmatan logistik dan pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan.


Pengarang :