SABAK BERNAM, 19 MAC: Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) menunjukkan perkembangan positif apabila beberapa projek bakal dimulakan sejurus mendapat kelulusan.
EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata antaranya termasuklah projek pertanian moden di Taman Agro Pintar Selangor (SSAP), Changkat Menteri di sini seluas 2,000 ekar yang sudah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ir Izham Hashim memaklumkan pembangunan semula Hay Resort kini diperingkat akhir kelulusan, manakala industri hiliran hasil laut dan agro makanan di Sungai Lang pula dalam proses memohon kebenaran merancang (KM).

“Projek SABDA berjalan dengan baik walaupun kita terkesan juga semasa pandemik Covid-19. Kita buat berperingkat, mana-mana projek yang sudah sedia kita terus masuk ke KM.
“Projek berkaitan di bawah pengawasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang akan mengurus proses menender dan sebagainya,” katanya di Bagan Terap, Sungai Besar di sini hari ini.
Bercakap sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Sabak Bernam, Ir Izham berkata pelaksanaan projek berkaitan membantu menjana peluang kerja sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Kita sudah nampak peluang kerja untuk penduduk Sabak Bernam, malah hasil pertanian semakin baik dan masing-masing mula beri tumpuan mengusahakan tanah-tanah.
“Insya-Allah saya yakin selepas ini apabila makin banyak industri akan membantu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

SABDA antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai tahun lalu membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.
Pembangunan berkeluasan 1,317 hektar dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.
Projek utama dalam senarai SABDA antara lain pembangunan Kompleks Pendaratan Ikan Sekinchan, Pembinaan Rehat dan Rawat (R&R) dan Pusat Perniagaan Air Manis.