PBTSELANGOR

Pembayar cukai taksiran terbaik terima tunai RM300, RM500

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 26 MAC: Buat julung kali Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menawarkan insentif tunai RM500 dan RM300 kepada pembayar cukai taksiran terbaik.

Yang Dipertuanya berkata ia diberikan kepada pembayar cukai yang melunaskan bayaran mengikut tempoh ditetapkan.

“Insentif ini merupakan galakan kepada pemilik premis dan pemegang harta untuk membayar cukai.

“Wang tunai tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun Aplikasi Smart Selangor Parking penerima,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim dalam kenyataan semalam.

Insentif tunai itu diperkenalkan tahun ini dan MPAJ akan memaklumkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa.

Selain itu Mohd Fauzi berkata MPAJ juga mengadakan cabutan bertuah dengan menawarkan empat motosikal Honda Vario sebagai hadiah utama.

Menurutnya hadiah untuk cabutan bulanan pula ialah TV Samsung 49 inci, Thermomix TM6, mesin basuh Elba, mountain bike, mesin hampagas Dyson V8 dan komputer riba Lenovo.

“Sehubungan itu pemilik premis atau pemegang harta diminta menjelaskan cukai taksiran bagi memenangi insentif dan hadiah yang disediakan selain untuk kelangsungan perkhidmatan MPAJ kepada warga Ampang Jaya.

“Bagi yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan tunggakan cukai taksiran boleh hadir ke Menara MPAJ untuk rundingan bayaran secara ansuran,” katanya.

Pada 18 Mac lalu Mohd Fauzi memaklumkan MPAJ mencatat kutipan cukai taksiran RM32.5 juta pada suku tahun pertama tahun ini.


Pengarang :