Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan lintasan hormat pada sambutan peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pementasan tragedi berdarah di Lahad Datu tarikan sambutan hari polis ke-216

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Persembahan tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu di Sabah yang berlaku 10 tahun lalu antara acara khas yang akan dipersembahkan Isnin ini, sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.

SAC Dasar Strategik Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman SAC Azman Abd Razak berkata persembahan berkenaan diadakan untuk mengenang jasa pegawai dan anggota polis yang terkorban ketika tragedi itu.

“Ia mampu mengusik dan meruntun jiwa orang ramai, yang berkisar kepada peristiwa pertempuran berdarah di Kampung Tanduo yang begitu sinonim dan satu sejarah hitam dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ di RTM1 hari ini, sempena Sambutan Peringatan Hari Polis yang ke-216.

Beliau berkata sambutan berkenaan akan turut melibatkan 669 pegawai dan anggota dalam kawalan kehormatan serta 11 detachment termasuk detachment misi pengaman.

“Selain itu, ia akan melibatkan 80 anggota detachment pancaragam, 50 detachment kenderaan aset PDRM untuk diperagakan termasuklah Unit Berkuda PDRM dan Unit Anjing Pengesan K9 PDRM serta tiga helikopter,” katanya.

Menurutnya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berkenan hadir ke sambutan itu, selain Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambutan yang bertemakan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ yang diadakan setiap 25 Mac itu, adalah sebagai penghargaan kepada warga PDRM atas khidmat bakti dicurahkan dalam memikul amanah dan tanggungjawab memelihara keamanan serta keselamatan negara.

– BERNAMA


Pengarang :