Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Ng Sue Lim menyampaikan Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah kepada penerima ketika Majlis Penyerahan Borang 5A di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Penantian sedekad berakhir, 51 penduduk ceria terima hak milik tanah

SABAK BERNAM, 19 MAC: Penantian sedekad 51 penduduk di Kampung Bagan Sekinchan di sini untuk mendapatkan hak milikan tanah berakhir hari ini apabila mereka memperolehinya daripada Kerajaan Negeri.

Keceriaan jelas terpancar pada wajah mereka selepas menerima surat kelulusan (Borang 5A) tersebut daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan di Dewan Seri Sekinchan di sini.

Suee Lim berkata Kerajaan Negeri berusaha menyelesaikan perkara itu bagi memastikan hak semua pemilik di kawasan berkenaan tidak diabaikan.

“Kita berusaha lebih 10 tahun untuk memastikan isu ini selesai dan bersyukur hari ini sudah memasuki fasa ketiga iaitu peringkat terakhir pemberimilikan tanah kepada penduduk.

“Matlamat saya mudah iaitu mahu selesaikannya selagi saya masih berkhidmat di DUN Sekinchan, kita tidak mahu rakyat rasa terabai tetapi mereka diingatkan supaya menjelaskan bayaran premium dan pada masa sama hidup dengan penuh harmoni,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Ng Sue Lim (tengah) bersama penerima Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah selepas Majlis penyerahan Borang 5A di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Salah seorang penerima Chia Choon Poo, 41, bersyukur akhirnya permohonannya berjaya dan penantian lebih 20 tahun itu membuahkan hasil.

“Saya lega akhirnya hasrat keluarga kami untuk mendapatkan hak milikan tanah ini berjaya. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana sangat prihatin dalam membantu rakyat,” katanya.

Manakala, Heng Hwa Heng, 50, berkata kini beliau boleh menarik nafas lega kerana akhirnya mendapatkan hak tersebut sementara masih hidup.

“Setidak-tidaknya apabila saya sudah tiada nanti anak-anak boleh mewarisinya. Lagipun harga rumah pun semakin mahal, ada tanah ini tidaklah risau sangat sekiranya mereka mahu tinggal di sini,” katanya.


Pengarang :