BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Penawar malaria dalam kitab purba selamatkan jutaan nyawa

OLEH ZAMIR MOHYEDIN

SHAH ALAM, 11 MAC: Semasa Perang Vietnam (1955–1975), malaria menjangkiti tentera Vietnam. Penyakit malaria bukan penyakit baharu pada masa itu. Malaria telah mula menyerang manusia sejak 10,000 tahun lalu lagi iaitu ketika zaman Revolusi Neolitik yang sejajar dengan manusia mula mengamalkan aktiviti pertanian.

Cumanya pada ketika itu manusia tidak tahu penyakit itu adalah penyakit malaria. Simptom demam malaria tetap menular dan pernah mengancam kemandirian manusia.

Pada era Perang Vietnam, 200 juta orang dijangkiti malaria setiap tahun dan hampir dua juta orang meninggal. Telan pil chloroquine adalah rawatan tipikal pada masa itu. Sampai ke hari ini sebahagian negara yang dilanda malaria di benua Afrika masih menggunakan pil ini untuk bendung malaria.

Seperti virus Covid-19, penyakit malaria berevolusi yang menjadikan pil chloroquine tidak berkesan langsung untuk merawat. Ramai tentera Vietnam sakit dan kematian dalam kalangan mereka meningkat.

Presiden Vietnam, Ho Chi Minh meminta tolong kepada China untuk melakukan kajian supaya malaria baharu ini dapat dirawat. China melihat pertolongan ini memberikan kepentingan kepada kerajaannya juga kerana malaria turut menular di kawasan selatan China seperti di Guangdong dan Guangxi.

Nyamuk Aedes Aegypti ditunjukkan dalam gambar Pusat Kawalan Penyakit (CDC) pada 2006. Foto REUTERS

Kerajaan China mengumpulkan 600 orang saintis dan melancarkan Projek 523. Nama projek ini bersempena projek itu bermula iaitu pada 23 Mei.

Malaria pada ketika itu bukan saja menghentam Vietnam, tetapi seluruh dunia. Sebanyak 240,000 bahan dihasilkan oleh saintis di seluruh dunia untuk merawat malaria baru ini, tetapi satu pun tidak berjaya.

Saintis wanita muda

Datanglah seorang saintis wanita muda. Pada masa itu umurnya baru 39 tahun iaitu Tu Youyou yang mengetuai Projek 523. Tu Youyou dihantar ke Hainan untuk menyelidik pesakit yang dijangkiti malaria.

Kita memang biasanya skeptikal dengan perubatan tradisional, tetapi Tu Youyou buka kitab-kitab perubatan purba China untuk selesaikan masalah malaria ini.

Dia mungkin telah memerhatikan saintis lain pun tidak jumpa sebarang jalan penyelesaian. Dia beranggapan mungkin ada alternatif lain ataupun petunjuk dalam kitab perubatan lama.

Berdasarkan bacaannya, Tu Youyou dan pasukannya menguji 2,000 jenis resipi ubat tradisional. Semua jenis rawatan ini diuji ke atas tikus dan cuma satu rawatan sahaja yang berkesan iaitu guna tumbuhan Sweet Wormwood.

Rupanya lebih 1,000 tahun lalu, Ge Hong, seorang ahli perubatan China purba telah gunakan tumbuhan ini sebagai rawatan untuk demam yang merupakan salah satu simptom malaria. Kalau kita tengok kaedah perubatan tradisional, air panas digunakan untuk buat herba, tetapi Tu Youyou dapati guna air panas tidak berkesan untuk merawat malaria dengan Sweet Wormwood kerana air panas telah merosakkan nutrien dan kandungan aktif tumbuhan tersebut. Jika gunakan air yang rendah suhunya, nutriennya dapat dipelihara, rawatan menjadi lebih berkesan.

Tumbuhan Sweet Wormwood juga digunakan dalam perubatan moden, yang dipercayai antara kaedah untuk merawat jangkitan Covid-19. Foto REUTERS

Pada hari ini, artemisinin yang diekstrak daripada Sweet Wormwood telah menjadi rawatan piawai untuk malaria dan telah menyelamatkan jutaan nyawa terutamanya di India, China, Asia Tenggara dan Amerika Selatan.

Sejurus artemisinin dapat dihasilkan, Tu Youyou menjadi subjek pertama untuk menguji keberkesanan rawatan tersebut. Apabila didapati artemisinin selamat, ia diuji ke atas pesakit-pesakit malaria.

Kajiannya diterbitkan secara awanama (anonymous) pada 1977. Penemuan Tu Youyou pada masa itu tidak diketahui oleh dunia, hanya China sahaja yang tahu kerana masa itu China mempunyai polisi melarang berkongsi apa-apa pengetahuan dengan dunia luar.

Penemuan Tu Youyou diketahui umum pada 1981 ketika beliau membentangkan penemuannya di hadapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Pada 2015, Tu Youyou merangkul Hadiah Nobel Perubatan kerana penemuan artemisinin.

Tu Youyou memberitahu beliau mendapat inspirasi daripada kitab purba China, The Handbook of Prescriptions for Emergency Treatments yang dikarang Ge Hong pada 340 Masihi ke atas penemuannya.

 


Pengarang :