AGENDANASIONAL

Pendaftaran baharu, kemas kini maklumat bantuan tunai mulai hari ini

SHAH ALAM, 1 MAC: Golongan yang layak untuk mendapatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh membuat pendaftaran baharu dan mengemas kini maklumat mulai hari ini hingga 31 Mac.

“Alhamdulillah, pendaftaran baharu dan kemas kini STR akan dibuka mulai hari ini sehingga 31 Mac,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Twitter hari ini.

Maklumat daripada Kementerian Kewangan (MOF) dikongsi beliau menjelaskan ini adalah bagi memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pengkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan selain membolehkan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat untuk membuat pengemaskinian.

“STR pada tahun ini akan memanfaatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.

“Pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas akan terus diperkasa di bawah Kerajaan perpaduan,” menurut kenyataan itu.

STR adalah program bantuan tunai dijenamakan semula di bawah MOF kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata STR 2023 akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.


Pengarang :