EXCO Perumahan Rodziah Ismail (tengah) beramah mesra bersama Kanak-Kanak yang menggunakan taman permainan projek fizikal bandar berdaya huni (SDGS 11) di Pangsapuri Cemara Taman Bukit Segar Jaya Cheras pada 4 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Penduduk gembira dapat kemudahan serba baharu melalui projek SDGs11

OLEH AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 4 MAC: Penduduk Pangsapuri Cemara 1 dan 2, Taman Bukit Segar di sini gembira kerana dapat menikmati pelbagai kemudahan yang telah dinaik taraf melalui Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni (SDGs11).

Roslindayati Yaakub, 39, berkata anak-anaknya kini menghabiskan masa hujung minggu di taman permainan dalam kawasan pangsapuri sahaja kerana peralatan mainan di situ telah diganti serba baharu.

Tambah kakitangan kerajaan yang menetap di Pangsapuri Cemara selama 13 tahun itu, satu ruang cergas turut disediakan untuk orang dewasa beriadah.

“Dah ada taman permainan kanak-kanak yang cantik dan ruang riadah pun selesa buat apa pergi jauh-jauh. Kebun komuniti penduduk pun cantik.

“Kami kini habiskan hujung minggu di kawasan rumah sahaja,” katanya selepas majlis perasmian SDGs11 yang disempurnakan EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail.

Ketua Kebun Komuniti Pangsapuri Cemara, Sufien Mansor, 55, pula melahirkan rasa syukur kerana Pangsapuri Cemara dipilih sebagai projek perintis SDGs11 bagi kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Dari taman permainan hinggalah ke turap jalan semuanya cantik dan kemas kerana dilaksanakan oleh MPAJ. Kebetulan semuanya terletak bersebelahan kebun jadi sambil beriadah boleh tengok kebun.

“Kami juga akan jaga dengan baik kemudahan yang telah diberikan ini dan pastikan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua penduduk,” katanya yang menetap di Pangsapuri Cemara selama 15 tahun.

Nur Syazwani Othman, 38, yang bertugas di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berterima kasih kerana melalui projek SDGs11 kawasan pangsapuri tidak lagi diceroboh oleh orang luar yang datang membuang pelbagai sampah termasuk sampah pukal.

“Antara kemudahan yang ditambah ialah palang keselamatan yang terletak berhampiran rumah sampah.

“Jika dulu orang luar datang buang sampah secara tidak teratur sehinggakan rumah sampah menjadi terlalu kotor dan berselerak. Bayangkan sampah pukal termasuk tilam pun buang di sini.

“Kini mereka tidak boleh masuk sesuka hati kerana dah ada palang keselamatan. Lampu jalan juga telah dibaiki jadi kawasan kediaman kami semakin terang dan ceria,” katanya.


Pengarang :