Orang ramai membeli barangan keperluan asas dengan harga murah di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 6 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk minta jualan murah lebih kerap sepanjang Ramadan

Oleh AZIAN AZIZ

SELAYANG, 6 MAC: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua meminta agar program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) diadakan lebih kerap pada bulan Ramadan.

Nurriza Muslim, 33, dari Kampung Wira Damai berkata langkah itu memberi peluang kepada penduduk membeli barangan asas murah memandangkan harga semakin naik menjelang musim perayaan.

Nurriza Muslim

“Kalau boleh buatlah pada hujung minggu agar mereka yang bekerja berpeluang mendapatkan barangan murah.

Saya sendiri telah lapan kali berbelanja di JER dan barangan wajib beli ialah ayam, telur dan beras,” kata ibu dua anak pada program JER peringkat DUN Sungai Tua di padang awam Batu Caves hari ini.

Warga emas, Salmah Abdul Jalil, 63, dari Kampung Sungai Tua Baharu turut menyokong saranan berkenaan mengatakan program itu sangat memberi manfaat.

Salmah Abd Jalil

“Dapatlah saya masak lauk ayam dan daging selalu untuk berbuka puasa bersama anak cucu nanti jika JER kerap diadakan masa Ramadan.

“Jualan murah ini memang membantu warga emas seperti saya,” katanya yang telah lima kali berbelanja di JER tahun ini.

Sementara itu, N Malairasan, 35, dari Indian Settlement memberitahu beliau yang tidak lagi bekerja selepas terlibat kemalangan berbelanja di JER bagi mendapatkan barangan murah.

N Malairasan

“Saya tiada pendapatan tetap sekarang dan membeli di JER memang murah dan jimat.

“Saya berharap agar JER diteruskan bagi membantu semua penduduk yang berpendapatan rendah dan tiada pendapatan tetap membeli barangan asas,” katanya yang tiga kali berbelanja di JER.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :