TUDM melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi, masing-masing berusia 11 hari dan dua bulan dari Kuching, Sarawak ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Jun 2020. FOTO: Ihsan TUDM
AGENDANASIONAL

Penerbangan ihsan bawa tiga ibu mengandung berisiko tinggi keluar dari Felda Selancar

KUANTAN, 2 MAC: Tiga ibu mengandung berisiko tinggi yang berada dalam fasa pertama kelahiran dan terputus hubungan berikutan jalan runtuh di Felda Selancar, Rompin dibawa keluar menerusi penerbangan ihsan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka kini menerima rawatan di dewan bersalin Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) setelah dibawa dengan ambulans ke hospital itu pada 8.33 malam selepas mendarat di lapangan terbang TUDM di sini.

“Penerbangan ihsan digerakkan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Rompin menerima makluman daripada Klinik Kesihatan Perwira Jaya pada 10.30 pagi berhubung keadaan ibu mengandung tersebut.

“Satu pasukan Obstetric Retrieval dari HTAA yang terdiri seorang pegawai perubatan obstetrik dan jururawat kesihatan telah diterbangkan ke Felda Selancar pada 4.51 petang menggunakan helikopter TUDM,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pasukan itu tiba di lokasi pada 6.15 petang dan ketiga-tiga pesakit telah diperiksa serta didapati stabil sebelum dibawa keluar.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk TUDM, Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Rompin dan Kerajaan Negeri Pahang yang membantu melancarkan misi menyelamat tersebut.

Jalan utama ke Felda Selancar runtuh sekitar 4 pagi semalam akibat limpahan air deras berikutan hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan ia ditutup kepada semua kenderaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang melawat lokasi kejadian petang semalam, mengumumkan pembinaan sebuah jambatan bailey yang akan dilakukan segera untuk kemudahan penduduk sementara menanti jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya.

– BERNAMA


Pengarang :