Gambar hiasan perbicaraan mahkamah
AGENDAJENAYAH

Penganggur didenda RM8,000 hantar komunikasi lucah melalui Telegram

KUALA TERENGGANU, 1 MAC: Penganggur didenda RM8,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menghantar komunikasi lucah melalui aplikasi Telegram, dua tahun lalu.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Fais Ibrahim, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Fais didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan perkhidmatan aplikasi Telegram.

Perbuatan tersebut telah dilihat pada 3.54 petang, 23 Februari 2021, di Kampung Baru Seberang Takir di Kuala Nerus.

Sehubungan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala Ahmad Fais diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

– BERNAMA


Pengarang :