Orang ramai membeli barangan keperluan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Hulu Kelang di Dewan Taman Permata, Hulu Kelang pada 9 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengunjung sanggup datang awal, tidak mahu terlepas dapatkan barangan murah

OLEH DIANA ABD WAHAB

AMPANG JAYA, 10 MAC: Rata-rata pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang semalam sanggup datang awal dan tidak kisah beratur lama untuk membeli barang keperluan asas pada program anjuran Kerajaan Negeri itu.

Kehadiran sebelum program bermula pada 10 pagi bagi memastikan barangan dapur yang dijual pada harga murah itu berjaya dimiliki.

Suri rumah Arissa Darminto, 47, berkata beliau datang seawal 8 pagi kerana stok barangan masih banyak dan kebiasaannya cepat habis berikutan sambutan hebat penduduk.

“Saya tak kisah perlu beratur dan tunggu hingga nombor giliran dipanggil kerana mahu beli barang pada harga murah. Saya hanya bergantung kepada pendapatan suami yang tidak seberapa jadi program ini banyak bantu jimatkan perbelanjaan keluarga,” kata ibu dua anak ini.

Arissa Darminto. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Bagi guru sandaran Lukman Nur Hakim Ahmad Dali, 26, yang juga datang awal berkata program anjuran Kerajaan Negeri itu berbaloi dan membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

“Saya sendiri sudah lima kali datang beli dan tak kisah walaupun jualan mula 10 pagi kerana ia menjimatkan perbelanjaan,” katanya.

Sementara Hamizan Jufri , 27, berharap agar program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diadakan lebih kerap terutama pada Ramadan kerana orang ramai akan lebih berbelanja.

“Saya harap perkara ini dipertimbangkan kerana memang pada Ramadan pelbagai persiapan dibuat untuk bersahur dan berbuka puasa malah perlu juga bersiap untuk Aidilfitri,” katanya yang hanya bekerja sendiri.

Hamizan Jufri. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pekerja restoran makanan segera Sarah Samsi, 42, berkata program tersebut banyak membantu golongan pekerja sepertinya yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi di bandar besar.

“Saya dapat berjimat kerana pendapatan yang rendah dan memang perlu program itu diadakan selalu supaya orang bekerja berpeluang hadir bagi mendapatkan barangan diperlukan,” katanya yang sudah dua kali menyertainya.

Terdahulu, lebih 400 pengunjung hadir pada program jualan murah di Dewan Taman Permata, Jalan Permata 4 di sini semalam.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.


Pengarang :