Gambar hiasan perbicaraan mahkamah
AGENDAJENAYAH

Peniaga didakwa cuai, tinggal cucu dalam kereta tepi jalan hingga maut

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuai kerana meninggalkan cucu lelakinya berusia dua tahun enam bulan sehingga menyebabkan kematian mangsa bulan lepas.

Nooriza Samsudin, 39, sebagai penjaga kepada kanak-kanak lelaki itu didakwa cuai dengan meninggalkan mangsa di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhadapan Plaza Medan Idaman di Jalan Gombak, di sini, antara 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang pada 25 Feb lepas, yang menyebabkan kematian mangsa akibat strok haba.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Triperjit Singh yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan sebanyak RM5,000

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi kemudian membenarkan Nooriza diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

-BERNAMA


Pengarang :