Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kiri ) menikmati makan tengah hari di Medan Selara Sri Serdang di Seri Kembangan pada 3 Mac 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peniaga medan selera bangga PM, MB sudi nikmati nasi campur

SUBANG JAYA, 4 MAC: Peniaga nasi campur di medan selera Sri Serdang di sini mengakui bangga apabila masakan di kedainya dinikmati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khairul Azhar Mohd Baijori, 32, berkata menjadi sejarah besar buat beliau dan keluarganya apabila dapat menghidangkan makanan kepada pemimpin nombor satu negara itu.

“Saya rasa bangga. Pemimpin besar boleh datang ke tempat rakyat biasa. Bukan senang perdana menteri nak pergi medan selera. Satu sejarah paling besar untuk saya dan keluarga pemimpin besar datang ke tempat kami ini, belum pernah terjadi lagilah.

Khairul Azhar Mohd Baijori, 31 ketika ditemui di Medan Selara Sri Serdang, Seri Kembangan pada 3 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

“(Kunjungan perdana menteri) Jadi kebanggaan buat kita bila orang nombor satu Malaysia makan di tempat seperti ini. Mereka boleh dengar suara daripada akar (rakyat). Kita rasa lebih mesra lagi dengan pemimpin,” katanya yang mengusahakan perniagaan bersama isteri, Nor Nabila Zulkifli, 31.

Beliau yang mewarisi perniagaan itu daripada kedua ibu bapanya berkata ibunya, Kamilah Mahkop yang mengusahakan perniagaan makanan sejak lebih 24 tahun lalu di situ teruja turut dengan kunjungan perdana menteri namun tidak dapat hadir bersama kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Perniagaan di sini sudah diusahakan sejak 24 tahun dulu, mak saya tidak berapa sihat. Dia seronoklah pemimpin besar datang tempat kami, cuba juadah dan resepinya,” katanya.

Semalam, perdana menteri meluangkan masa kira-kira 30 minit menikmati nasi campur di medan selera berkenaan diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM).

Antara juadah yang dihidangkan kepada perdana menteri termasuk terung goreng berlada, udang sambal petai, ayam goreng berempah, sayur pucuk paku masak lemak cili api, sayur kobis masak lemak putih dan sup tulang.


Pengarang :