Peniaga Pau Adik, Anuar Zaidi Mohamad berniaga berhampiran khemah Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 6 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peniaga teruja jualan pau di Jelajah Ehsan Rakyat cecah 1,000 biji sehari

Oleh AZIAN AZIZ

SELAYANG, 7 MAC: Seorang peniaga pau bersyukur dan teruja selepas jualannya mencecah 700 hingga 1,000 biji sehari sejak beliau menyertai program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) awal Februari lalu.

Menurut Anuar Zaidi Mohamad, pau yang siap dikukus dan dipek sejuk beku merupakan produk utama yang dijual di setiap lokasi JER dengan harga RM1 sebiji.

“Semua produk yang saya jual saya buat sendiri bersama isteri. Alhamdulillah jualan saya mendapat sambutan daripada pengunjung JER.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membenarkan peniaga ‘food truck’ seperti saya mencari rezeki dalam program JER,” katanya pada program JER peringkat DUN Sungai Tua di padang awam Batu Caves semalam.

Anuar Zaidi menjelaskan lebih dua tahun dia mengalami kerugian akibat pandemik Covid-19 hingga hutangnya meningkat, kini beliau kembali bangkit meneruskan perniagaan dengan menggunakan jenama Pau Adik.

“Setakat ini saya telah hampir 30 kali ikut program JER antaranya di Batu Caves, Selayang, Kuang, Puchong dan Ijok.

“Lepas jualan JER selesai, saya berniaga di mana-mana bazar dan pasar tani pula pada sebelah petang,” katanya yang turut menjual makanan sejuk beku seperti roti canai, karipap, sardin gulung dan cucur badak.


Pengarang :