HULU LANGAT, 4 MAC: Peniaga pasar basah Seksyen 1 Bandar Baru Bangi di sini teruja menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pagi tadi.
Wakil Persatuan Penjaja Pasar Basah Seksyen 1 Bandar Baru Bangi berkata peniaga di premis berkenaan berharap lawatan Amirudin membawa sinar kepada urusan baik pulih prasarana dan kemudahan di situ.

“Rasa teruja dan gementar juga untuk persiapan. Kita harap dengan kunjungan Dato’ Menteri Besar membawa perubahan kepada kemudahan di sini kerana ada bumbung yang sudah bocor, siling pecah selain cat yang sudah lusuh.
“Surat permohonan juga sudah diserahkan kepada Menteri Besar dan kita harap ada berita baik untuk baikpulih prasarana di sini,” kata Agus Salim Abdul Wahid.
Mengakui sudah 13 tahun berniaga di medan selera berhadapan pasar berkenaan, Agus berharap kerja baikpulih dapat dilakukan secepat mungkin untuk keselesaan peniaga serta pengunjung pasar berkenaan.
“Pasar ini jadi tumpuan penduduk kerana selain pasar basah, dalam perkarangan kawasan ini juga ada medan selera,” katanya.
Terdahulu Amirudin yang ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad meluangkan masa kira-kira 30 minit bersarapan bersama penduduk di situ dengan juadah disediakan termasuk nasi lemak, lontong, lempeng kelapa dan kuih muih.

Amirudin selepas itu turut menyantuni dan beramah mesra dengan peniaga pasar basah dan pasar rakyat di kawasan berkenaan selain memenuhi permintaan peniaga dan pengunjung yang teruja mahu bergambar bersamanya.
Terdahulu, Amirudin menunaikan solat Subuh bersama kira-kira 100 jemaah di Masjid Teras Jernang di sini selain turut berkesempatan mendengar kuliah Subuh disampaikan Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat Ustaz Dr Ahmad Zaky Md Ali.
