Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen pada 24 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penjawat awam, pesara terima bantuan khas Aidilfitri pada 17 April

PUTRAJAYA, 24 MAC: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 RM700 kepada penjawat awam yang layak serta RM350 kepada pesara kerajaan akan dibayar pada 17 April ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed dalam satu surat edaran “Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Tahun 2023” bertarikh 23 Mac.

Mereka yang layak mendapat BKKA 2023 ialah pegawai perkhidmatan awam gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 17 April.

Pegawai lantikan tetap, sementara dan ‘Contract of Service’ (COS), pegawai yang bercuti bergaji penuh, pegawai yang bercuti separuh gaji, pegawai yang bercuti tanpa gaji serta pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya turut layak menerima BKKA 2023.

BKKA 2023 turut dibayar kepada pegawai lantikan MySTEP yang masih berkhidmat pada 17 April dan dilantik sebelum 17 April, guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya, serta pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran serta hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman.

Menurut surat edaran itu, pesara yang sedang menerima pencen termasuk penerima pencen terbitan di bawah undang-undang pencen serta pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara daripada perkhidmatan awam apabila mencapai opsyen umur persaraan paksa atau bersara atas sebab kesihatan pada, atau sebelum 17 April 2023 akan dibayar RM350.

“Pesara dan veteran yang dilantik semula secara lantikan tetap, sementara serta COS dan masih berkhidmat pada 17 April layak dibayar RM700,” menurut surat edaran itu yang turut menyatakan pembayaran RM350 akan dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)/Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) dan bakinya RM350 dibayar oleh jabatan yang menempatkan pegawai sedang berkhidmat.

Menurut surat edaran itu, pegawai perkhidmatan awam yang meninggal dunia pada 17 April 2023 layak diberi BKKA 2023 sebanyak RM700.

BKKA 2023 tidak layak diberikan kepada pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku, dipinjam atau tukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama/Gred Khas.

Juga tidak layak ialah pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib buang kerja atau turun pangkat dalam tempoh 1 Januari hingga 17 April 2023, pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dalam tempoh 1 Januari hingga 17 April 2023, pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari hingga 17 April 2023 serta pegawai berpencen yang melepaskan hak pencen kerana menyertai badan berkanun yang diasingkan saraan.

“Pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan pihak berkuasa tatatertib akan ditangguhkan pemberian BKKA 2023 ini,” menurut surat edaran itu.

Pegawai hanya layak dibayar setelah dibebaskan daripada pertuduhan tatatertib atau dikenakan hukuman selain buang kerja atau diturunkan pangkat.

– BERNAMA


Pengarang :