Ng Sze Han ketika ditemu bual Media Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 16 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Perkhidmatan van transit bermula, DUN Kinrara sebagai perintis

SHAH ALAM, 2 MAC: Perkhidmatan van transit atas permintaan (Demand-Responsive Transit) atau DRT mula dilaksana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara sebagai projek perintis.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata perkhidmatan yang dilengkapi perisian pintar bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan bakal diperluas ke DUN lain.

“Perkhidmatan DRT ini seperti ‘van pooling’ tetapi ia menggunakan perisian pintar yang membantu pengguna merancang perjalanan dan sampai ke destinasi dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sebagai permulaan, perkhidmatan ini dibawa ke DUN Kinrara iaitu di Bandar Puteri Puchong dengan tempoh percubaan selama tiga bulan,” katanya ketika dihubungi.

Sze Han yang juga wakil rakyat DUN Kinrara berkata van berkenaan akan melalui 17 kawasan perumahan dan 20 hentian komersial antaranya perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Puteri dan Taman Perindustrian serta Hospital Columbia Asia.

Pada 25 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa pengangkutan awam bawah program Selangor Mobiliti.

Sebanyak RM22 juta diberi kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor manakala RM3 juta lagi bagi pelaksanaan Selangor Mobiliti Fasa Pertama yang merangkumi perkhidmatan van DRT.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari perkhidmatan berkenaan akan melengkapkan ekosistem pengangkutan awam negeri dan berfungsi berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar, bukan seperti bas henti-henti.


Pengarang :