BUDAYARENCANA

Perlawanan terakhir

Oleh Arif Zulkifli

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

Aku baru tiba di kedai mamak. Mujur masih banyak tempat kosong. Ada lagi 40 minit sebelum perlawanan bola antara Jerman dan Mexico, jadi aku terus mengambil tempat di sebelah tiang, selang tiga buah meja daripada skrin layar yang menayangkan dua pengacara sukan bersembang.

Tanganku diangkat tinggi, cuba menggamit perhatian pelayan di situ. Seorang mamak yang sedari tadi tertoleh-toleh ke arah pelanggan, segera mendekat apabila tersedar aku sedang memanggilnya.

“Order bos?” dia tersenyum lebar, menampakkan barisan gigi yang putih tersusun.

“Teh O ais limau satu.”

“Makan?”

Aku geleng dan dia berlalu pergi.

“Sekejap!”

Si pelayan itu berpatah balik dengan kening yang separuh terangkat.

“Tambah teh tarik satu.”

“Oh, ada kawan mau datang ka?”

Pertanyaannya bagaikan merenggut kuat jantung aku.

“Ya ….” dan senyuman tawarku mengiringi pemergian pelayan itu.

“Wei, Piala Dunia dah nak mula!”

Aku lihat si dia sedang terlompat-lompat sambil terjerit-jerit bagai orang kesurupan.

“Kenapa kau tak ikut melompat sekali?”

Soalannya mengundang kerutan dahiku.

“Motif? Aku bukannya minat bola.”

Wajahnya yang gembira kini bertukar keliru. Cepat-cepat dia duduk di bucu katilku.

“Tapi kau … lelaki?” kali ini, aku pula yang keliru.

“Apa kena-mengena lelaki dengan … oh.” Baruku sedar. Teman sebilik aku ini naif rupanya. Aku perbetulkan sandarku dan meletakkan buku yang sedang dibaca di tepi.

“Lelaki tak semestinya kena minat bola dan perempuan tak semestinya kena minat buku. Seorang lelaki boleh saja untuk lebih suka baca buku berbanding tengok bola – macam aku – dan sebaliknya. Janganlah kita kecilkan ruang-batas apa yang boleh seorang lelaki atau perempuan perlu minat berdasarkan benda-benda remeh macam tu.”

“Tapi … bola kut?”

“Jadi?”

“Ah, tak ada. Aku tak boleh biarkan teman sebilik aku tak merasai betapa nikmatnya tengok bola beramai-ramai di kedai mamak. Dahlah esok perlawanan pertama pasukan kegemaran aku. Germany for the win!” Tiba-tiba dia sambung melompat dan menjerit-jerit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jerman. Aku hanya mencebik dan menyambung pembacaanku yang tertangguh.

Keesokan harinya, cuba teka aku di mana?

Ya, aku di mamak, memakai jersi Jerman miliknya – dia ada lebih daripada lima helai jersi Jerman – bersama-sama puluhan orang yang lain. Mata mereka melekat pada skrin layar sedari tadi, menyaksikan 22 orang lelaki berebut sebiji bola.

Aku mendengus. Sebenarnya aku masih belum faham bagaimana dia boleh memujuk aku untuk berada di sini. Mungkin aku kasihan dengannya yang tak habis-habis merayu sejak aku celik mata pagi tadi.

Kau tak nak tengok pun tak apa! Kau bawalah buku kau sekali, asalkan kau ada dengan aku malam nanti. Please? Masih terngiang-ngiang pujuk-rayunya. Aku tersengih sendiri.

Atau mungkin sebenarnya aku tak pandang dia sebagai seorang kawan biasa? Aku mencuri pandang susuknya yang sedang khusyuk menonton perlawanan antara pasukan Jerman dan Portugal itu. Rambut hitam yang separa panjang sering kali jatuh-lurut menutup mata kanannya, dan sering kali itu jugalah dia akan menepisnya dengan tangan kanan. Kulitnya cerah dan suci daripada apa-apa cela. Halkumnya tergerak-gerak setiap kali dia menelan liur. Dan aku pun terikut menelan liur sekali.

Aku menggeleng.

Ish, dia kawan aku dan cuma kawan saja. Tak lebih daripada itu. Pembacaan yang tergantung tadi, aku sambung. Belum habis satu muka surat aku baca, seisi kedai bergegar dengan jeritan dan sorakan gol yang kuat. Dia di sebelah sudah berdiri dan terlompat-lompat. Nampaknya aku seorang saja yang masih duduk.

Dia, yang mungkin terlebih teruja, terus datang dan memelukku erat sambil terjerit-jerit keriangan. Aku cuma mampu tergelak, tetapi Tuhan saja yang tahu betapa lajunya degupan jantung aku pada malam itu. Aku lihat skrin, pemain Jerman dengan nama Müller turut tersenyum riang sambil dipeluk rakan sepasukannya yang lain.

Mungkin malam itu malam gembira aku dan Müller. Müller, kerana berjaya melakukan hatrik. Dan aku, kerana dipeluk dia sebanyak empat kali, melambangkan empat kali gawang Portugal lobos. Malam itu aku tidur dengan senyuman.

Dan sudah menjadi ritual aku dan dia, setiap kali perlawanan bola yang melibatkan Jerman, aku akan menemaninya pergi ke kedai mamak yang berhampiran dengan kolej kami, sama-sama berjersi belang hitam-merah pasukan Jerman. Aku akan memesan teh O ais limau dan dia, teh tarik.

Dia larut dengan perlawanan bola. Aku larut dengan plot cerita.

Ghana, Amerika Syarikat, Algeria, Perancis semua rebah dibelasah Jerman. Kekalahan yang paling teruk, Brazil. Tujuh kali bola disepak masuk ke dalam gawang gol milik Brazil, dan tujuh kali juga dia melompat sambil terjerit-jerit malam itu hingga kehilangan suara.

“Kau memang pembawa tuah! Pembawa tuah!” Jeritnya sambil memeluk dan menepuk-nepuk belakang tubuhku. Mukaku kemerahan.

Cuti semester tiba, dan aku pulang ke Cheras. Dia, ke Shah Alam. Malam perlawanan akhir Piala Dunia 2014, Jerman menentang Argentina. Dia awal-awal lagi sudah beritahu mahu menonton bersamaku, walaupun dia mempunyai empat orang abang dan seorang ayah yang turut menyokong pasukan Jerman, tetapi katanya, menonton bola dengan aku lebih seronok. Aku mengulum senyum.

Cadangnya, dia akan menunggang motosikal dari Shah Alam ke rumahku, dan kemudian kami akan duduk menonton di mana-mana kedai mamak yang berdekatan.

Aku sudah siap menyarungkan jersi Jerman – akhirnya dia beri terus jersi ini kepadaku – 30 minit yang lalu, namun kelibatnya belum kelihatan. Mesej daripadanya, Aku dah on the way! aku pandang sepi. Malah, sehingga wisel penamat yang ditiup panjang, yang menandakan kejayaan pasukan Jerman memenangi Piala Dunia, dia masih belum tiba juga.

“Teh O ais limau dan teh tarik siap!” Suara pelayan lelaki tadi memecah lamunan, serta merta aku lontar cebis-cebis kenangan.

Kedai mamak mulai penuh dengan lautan jersi putih pasukan Jerman. Perlawanan bola sudah pun dimulakan 10 minit yang lalu. Begitulah memori yang tiba-tiba menerpa seperti angin sejuk di petang panas – menenangkan, melalaikan.

Wisel penamat ditiup. Jerman kalah. Teh tarik terbiar, tak terusik. Dalam mata kabur bergenang, aku sedar bukan aku pembawa tuah, tetapi dia.


Pengarang :