Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penggulungan ketika Kongres Nasional Khas KEADILAN 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pernah jadi mangsa fitnah, PM jamin pembangkang tidak dizalimi

SHAH ALAM, 18 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak politik permusuhan dengan mana-mana pihak dengan mengambil ikhtibar daripada pengalaman sukarnya sebelum ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu menjelaskan beliau hanya mahu menikmati ketenangan ketika usianya kini menjangkau 75 tahun.

“Saya tidak sanggup khianat dan fitnah orang kerana saya melalui detik yang sukar sebelum ini.

“Saya mahu di umur ini, dengan kepayahan yang berlaku, sebagai peringatan dan pengajaran untuk pastikan tiada kezaliman kepada sesiapa termasuk pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan dan penangguhan pada Kongres Nasional Khas KEADILAN di Stadium Malawati di sini hari ini.

Kongres bertemakan Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme itu dihadiri kira-kira 4,000 perwakilan dan pemerhati serta julung kali menampilkan Anwar sebagai perdana menteri.

Anwar berkata, beliau bagaimanapun enggan menjadikan perkara itu sebagai alasan pihak pembangkang tidak boleh didakwa, sekali gus menyebabkan fitnah dan salah laku berleluasa.

“Tetapi cara mereka menyerang adalah luar daripada batasan, etika dan akhlak. Apabila kita jawab, kita dikatakan menentang Islam dan ulama.

“Sedangkan kita menentang kesilapan dia. Tetapi itulah naratifnya sehingga orang takut mahu buat teguran,” katanya.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada tindakan undang-undang yang dibuat terhadap beberapa pimpinan PAS, termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas beberapa dakwaan fitnah.


Pengarang :